Thursday, 26 May 2016

KESAN EL-NINO KEPADA MANUSIA

Oleh: ABDUL HALIM KAMIL BIN NOR RUSLI

            Mengikut sejarah, El-Nino berasal daripada perkataan bahasa Sepanyol yang bermaksud ‘anak lelaki’. Istilah tersebut pertama kalinya digunakan oleh nelayan di Peru dan Ekuador yang tinggal di pantai sekitar Samudera Pasifik bahagian Timur sekitar tahun 1800-an bagi merujuk kepada Jesus Christ kerana fenomena itu dikesan sekitar perayaan Krismas pada bulan Disember. Fenomena El-Nino ini telah dikesan jauh lebih awal daripada La Nino kerana ia mempunyai kesan langsung terhadap nelayan di negara Amerika Selatan tersebut. Nelayan Peru mendapati sekitar bulan Disember dan Januari, hampir tidak ada langsung ikan di lautan. Tetapi, sehingga sekarang fenomena ini masih merupakan suatu kajian khusus yang belum ditemukan pola terjadinya ia.

            Secara ringkasnya, El-Nino merupakan fenomena pemanasan suhu permukaan air laut yang biasanya berlaku dalam tempoh enam hingga 18 bulan setiap dua hingga tujuh tahun di timur Lautan Pasifik berhampiran Peru. Namun, fenomena ini telah menyebabkan berlakunya perubahan iklim di seluruh dunia dan antara kesannya ialah hujan lebat di sesetengah kawasan, sementara dikawasan lain berlakunya kemarau berpanjangan. Kejadian semulajadi ini boleh berlaku apabila angin biasa bertiup dari kawasan Lautan Pasifik di benua Amerika Selatan menuju ke kawasan Australia dan negara-negara Asia Tenggara seperti Malaysia, Indonesia dan Filipina. Fenomena ini menyebabkan telah berlakunya perubahan iklim seperti cuaca bertukar menjadi panas dan kemarau serta kadar hujan yang sedikit di negara-negara yang berkaitan.

            Mengikut rekod, El-Nino telah melanda negara sebanyak 12 kali sejak 1951-1952 dan kejadian yang paling teruk ialah pada tahun 1997-1998 dengan catatan suhu tertinggi iaitu 40.1 darjah Celsius yang direkodkan di Stesen Meteorologi Chuping pada 9 April 1998. Disamping itu, suhu seluruh dunia bagi sepanjang tahun 1998 ialah yang paling tinggi. Pada tahun itu, sebahagian besar kawasan di negara ini mengalami cuaca kering dan panas serta berjerebu. Isu paling mendapat liputan pada masa itu ialah krisis bekalan air di Lembah Klang. Di peringkat global pula, El-Nino pada tahun tersebut menyebabkan kerugian yang dianggar sebanyak RM112.6 billion dan angka korban melebihi 23,000 orang.

Rekod tersebut telah “dipecahkan” pada tahun 2002 seiring perubahan iklim sejagat. Fenomena El-Nino ini boleh memberi kesan kepada orang awam seperti kesan cuaca panas dan kering, krisis bekalan air dan penularan penyakit bawaan vektor, air dan makanan. Pendedahan kepada cuaca panas boleh memberi kesan yang pelbagai terhadap kesihatan manusia dari sederhana kepada teruk seperti strok haba yang boleh menyebabkan kematian.

Oleh disebabkan itu, rakyat Malaysia dinasihatkan supaya lebih berwaspada terhadap tanda-tanda awal 'heat stroke' atau 'strok haba' berikutan cuaca panas dan kering ketika ini. Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah memberitahu, definisi strok haba adalah paras suhu badan yang meningkat melebihi 40.5 darjah celcius. Ini kerana, suhu normal kepada badan manusia adalah kira-kira 37.0 darjah celcius sahaja. Hal ini kerana, sebanyak 99 kes yang berkaitan cuaca panas telah dirujuk kepada hospital dan klinik kerajaan di seluruh negara dari 1 Mac hingga 27 Mac 2016. Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, sebanyak 22 kes yang terjadi adalah disebabkan “heat cramp yang meliputi 22.22 peratus, manakala 63 kes yang berlaku disebabkan kelesuan haba yang mewakili 63.64 peratus dari jumlah keseluruhan dan 14 kes yang berpunca daripada strok haba iaitu 14.14 peratus dari jumlah keseluruhan. Justeru itu, katanya, fenomena besar seperti cuaca panas dan gelombang haba yang sedang melanda negara kita perlulah diambil perhatian yang teliti dan tegas oleh semua pihak.

Pada kebiasaannya, penyakit seperti strok haba akan mengakibatkan tubuh badan manusia menghasilkan peluh secara berlebihan sehingga menyebabkan air yang terkandung di dalam badan berkurangan dengan cepat. Selain itu, tubuh badan manusia juga akan lebih mudah untuk terdedah kepada dehidrasi, sawan, kekeliruan, kerosakan otak dan organ dalam badan, koma seterusnya kematian. Dr Noor Hisham berkata suhu tinggi juga mengundang komplikasi kepada sistem saraf otak yang boleh menyebabkan seseorang itu koma dan boleh membawa kematian. Proses berpeluh adalah normal, tetapi apabila kuantiti peluh yang dikeluarkan secara berlebihan oleh seseorang individu itu akan menyebabkan kandungan air di dalam badan mereka semakin berkurangan. Perlu diingatkan bahawa air yang terkandung di dalam badan adalah penting bagi organ-organ seperti jantung, buah pinggang, dan otak supaya ianya dapat menjalankan tugas dengan baik dan lancar. Dr Noor Hisham berkata pendedahan badan secara berpanjangan kepada cuaca dan suhu panas disamping kurang pengambilan air mineral dan dehidrasi badan antara punca yang mampu menyebabkan berlakunya penyakit strok haba. Beliau dalam pada itu menjelaskan, cuaca panas yang melampau boleh menyebabkan seseorang individu itu kerap berpeluh dan kesannya, cecair dalam tubuh badan akan berkurangan. Oleh itu, situasi ini akan menyebabkan individu tersebut mudah berasa letih dan kurang bertenaga serta lebih berisiko mengalami dehidrasi dan strok haba.

Dalam keadaan cuaca yang begitu terik atau panas kini, individu disarankan berwaspada dengan serangan tersebut dan mengetahui tanda-tanda awal strok haba bagi mengelakkan kejadian yang tidak diingini berlaku kerana strok haba boleh menyerang sesiapa sahaja tanpa mengenal usia. Kepada individu atau golongan yang perlu mengambil ubat secara rutin, mereka juga perlu memastikan mereka mengambil minuman terutamanya air mineral dalam jumlah yang lebih tinggi dari biasa dan elakkan diri dari berada di kawasan yang panas. Individu serta masyarakat juga perlulah mengelakkan dari memakai pakaian yang tebal. Masyarakat seharusnya memilih untuk mengenakan pakaian nipis bagi menghindarkan badan untuk cepat berpeluh. Pengambilan minuman manis dan beralkohol juga perlu dikawal dalam tempoh cuaca kering dan panas kerana ianya mudah menyebabkan badan menjadi dehidrasi. Malahan, masyarakat seharusnya mengamalkan pengambilan air mineral yang mencukupi kepada tubuh badan manusia iaitu melebihi lapan gelas sehari. Dr. Noor Hisham juga telah menasihatkan kepada masyarakat yang bergelar ibu bapa supaya tidak meninggalkan anak mereka di dalam kereta jika berada di luar. Ini kerana, haba yang terlalu tinggi di dalam kereta tanpa penghawa dingin boleh menyebabkan strok haba berlaku secara tiba-tiba ke atas anak tersebut. Nasihat juga diberikan kepada guru dan majikan supaya mengurangkan aktiviti di luar seperti bersukan atau latihan kawad dalam tempoh cuaca sebegini kerana ia akan memburukkan kesihatan diri terutamanya bagi kumpulan yang berisiko. Katanya, tanda-tanda awal strok haba boleh dikesan dengan paras suhu badan yang tinggi melebihi 40 darjah Celsius selain simptom-simptom seperti loya dan muntah, sakit kepala, denyutan nadi menjadi pantas, kulit menjadi kering serta kemerahan dan kekejangan otot. Tanda-tanda lain ialah otot lemah dan kejang, muntah, kulit kering dan kemerahan, sawan serta pitam.

Seterusnya, kanak-kanak dan warga emas merupakan antara golongan masyarakat yang paling berisiko mendapat masalah kesihatan yang mengundang keadaan ini. Malaysia kini berdepan dengan fenomena El Nino yang menyebabkan ancaman gelombang haba apabila beberapa kawasan di Semenanjung Malaysia yang telah dikenal pasti mencapai paras ambang gelombang haba melebihi 35 darjah Celsius. Selain itu, golongan seperti mereka yang mempunyai penyakit kronik juga perlu berjaga-jaga dengan pengambilan ubat mereka yang boleh menyingkirkan air di dalam badan.

Individu yang mengalami penyakit seperti strok haba juga boleh terkena sawan, pitam dan mengalami kekeliruan sebagai petanda awal mereka menghidap strok haba. Jika ini berlaku, rawatan awal perlu dilakukan bagi mengelakkan sebarang komplikasi kepada tubuh badan mereka. Oleh itu beliau menyarankan beberapa langkah segera untuk diambil sekiranya terdapat individu yang terkena strok haba iaitu menempatkan pesakit di tempat yang teduh dan berhawa dingin. Selain itu, haba tinggi juga boleh dikurangkan jika individu itu ditempatkan di bawah kipas dan mengelap anggota badannya dengan menggunakan tuala yang telah dibasahkan serta pesakit itu juga mungkin boleh berendam di dalam kolam air untuk menurunkan tekanan haba dan menyejukkan badan. Walau bagaimanapun, terdapat langkah-langkah pencegahan yang boleh diambil antaranya mengelakkan daripada melakukan aktiviti riadah yang terdedah kepada cuaca panas. Selain itu, minum air dalam kuantiti yang banyak sekurang-kurangnya 2.5 liter sehari. Di samping itu, elakkan daripada melakukan aktiviti di atas permukaan yang panas seperti di atas simen.

Fenomena panas seperti ini dijangka berlarutan sehingga hujung bulan ini yang boleh mengakibatkan komplikasi kepada sistem badan manusia jika terdedah kepada sinaran matahari pada suatu tempoh yang panjang terutamanya kepada kanak-kanak yang sering terdedah dengan cuaca panas. Dalam tempoh panjang tersebut, aktiviti luar yang sering dilakukan pelajar sekolah seperti Pendidikan Jasmani dan Kesihatan, bersukan, berkawad, dan beriadah perlu dielakkan kerana berisiko untuk mendapat strok haba yang jarang sekali berlaku namun berpotensi untuk berlaku yang sangat tinggi berikutan cuaca panas dan kering yang melanda negara kini.
           
                 Selain itu, perubahan suhu dan cuaca boleh juga boleh mempengaruhi populasi dan kelakuan vektor nyamuk, sekali gus meningkatkan potensi jangkitan. Ini kerana keadaan cuaca yang lebih panas akan menyebabkan vektor nyamuk untuk hidup dan matang lebih cepat serta menyebabkan tempoh pengeraman virus lebih singkat. Kesan dari cuaca panas dan terik ini turut boleh meningkatkan kewujudan nyamuk di kawasan baharu serta boleh meningkatkan potensi epidemik sebanyak 31 hingga 47 peratus bagi penyakit Denggi dan antara 12 hingga 27 peratus bagi penyakit Malaria. Walaupun kajian mengaitkan faktor cuaca dengan Denggi terbatas di Malaysia, tetapi secara umumnya perubahan pantas dalam suhu sekeliling dan kelembapan boleh mempengaruhi vektor nyamuk.
           
Beberapa kajian menunjukkan hubungan positif antara hujan yang turun dengan penyakit demam Denggi. Selain demam, penyakit lain seperti wabak taun, untut dan malaria juga boleh merebak disebabkan peningkatan suhu. Penyakit-penyakit ini sering menular ketika musim panas. Orang ramai disarankan agar menghapuskan tempat pembiakan nyamuk aedes yang boleh menyebabkan berlakunya penyakit Denggi seperti bekas plastik, tin kosong, tayar dan pasu bunga. Bagi mereka yang menyimpan air di dalam bekas adalah disarankan supaya memastikan bekas penyimpanan air adalah bersih dan selamat dan tidak menggunakan bekas penyimpanan tersebut untuk bahan-bahan kimia atau racun. Selain itu, semua bekas penyimpanan air hendaklah ditutup supaya tidak menjadi tempat pembiakan nyamuk, tidak tercemar oleh dengan bakteria dan haiwan perosak. Orang ramai juga boleh memasukkan Abate ke dalam bekas-bekas air yang terbuka. Air yang disimpan juga perlu ditukar sekiranya terdapat perubahan bau, warna, rasa dan terdapat pembiakan nyamuk atau lumut didalam bekas penyimpanan tersebut. Orang ramai disarankan berjimat dalam penggunaan air. Sebagai contoh, menggunakan air yang telah digunakan (kitar semula) atau air tadahan hujan untuk menyiram pokok, mencuci kereta, mencuci lantai dan longkang. Tambahan lagi, bagi mereka yang mengalami penyakit-penyakit seperti batuk, selsema, sakit mata dan sebagainya hendaklah ke klinik atau hospital yang berdekatan dengan segera untuk mendapatkan rawatan agar penyakitnya tidak makin berlarutan.

Disamping itu, kesan dari cuaca panas dan kering yang melampau ini telah menyebabkan kebakaran hutan, hampir 10 juta hektar hutan di kawasan Sumatera dan Kalimantan, Indonesia telah terbakar. Dalam keadaan musim kering dengan taburan hujan yang sedikit atau tidak ada langsung, pencemaran tersebut akan menjadi lebih meruncing sehingga menyumbang kepada masalah jerebu. Masalah jerebu ini boleh mengundang penyakit berkaitan penafasan seperti asma, radang paru-paru, sakit tekak, sakit mata, batuk dan selsema. Jerebu yang berlaku pada 1997-1998 di negara ini dianggap yang terburuk dalam sejarah sehingga hampir seluruh negara seolah-olah diselubungi dengan asap. Bacaan Index Pencemaran Udara (IPU) di sesetengah kawasan turut mencapai paras sangat merbahaya. Sehinggakan Tun Dr. Mahathir Mohamad, Perdana Menteri semasa itu terpaksa mengisytiharkan darurat. Dalam tempoh bulan Ogos hingga Oktober 1997, Malaysia telah mengalami kerugian sebanyak RM802 juta oleh disebabkan masalah jerebu tersebut. Kesan dari jerebu itu boleh mengurangkan jarak penglihatan. Keadaan ini berlaku disebabkan komponen-komponen yang ada di dalam jerebu yang berupaya menyerap dan menyerak cahaya matahari. Penggurangan jarak penglihatan membawa masalah besar kepada aktiviti ekonomi dan harian orang ramai. Ia akan menganggu aktiviti perkhidmatan udara dan laut serta ketidaklancaran perjalanan darat.


Kesimpulannya, El-Nino merupakan fenomena alam yang sangat merbahaya dan boleh memudaratkan kesihatan manusia. Tidak mempunyai cara untuk mengatasi fenomena ini daripada melanda. Sehubungan itu, bagi mengurangkan kesan terhadap kesihatan akibat cuaca panas, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menasihatkan orang ramai supaya minum air yang secukupnya, sekurang-kurang 2.5 liter sehari dan minum air yang telah dimasak. Selain itu, hadkan aktiviti di luar dan jika tidak dapat dielakkan, pakai topi atau paying yang boleh melindungi diri daripada terlalu terdedah dengan cuaca panas, sebolehnya orang ramai diminta berada di dalam rumah atau bangunan. KKM juga mengingatkan orang ramai supaya bersiap sedia dan mengambil tindakan yang sewajarnya bagi menghadapi masalah ini. 

Friday, 20 May 2016

KANSER PAYUDARA PEMBUNUH NO.5 WANITA KANSER PAYUDARA: APA YANG PENTING? – DR. HIDAYATUL RADZIAH ISMAWI

Oleh : Surianty Binti Alias 


Apa itu kanser payudara? Kanser payudara merupakan sejenis penyakit di mana terdapatnya sel-sel kanser (malignant) dalam tisu-tisu payudara. Ia merupakan antara penyebab utama kematian di kalangan wanita seluruh Malaysia. Hampir 3,500 kes kanser payudara dikesan setiap tahun. Penyakit barah payudara merupakan barah tisu payudara dan ia merupakan penyakit barah paling meluas di kalangan wanita. Kanser ini akan menyerang sekitar 10% semua wanita pada semua peringkat umur di dunia Barat. Walaupun usaha meluas dijalankan bagi pengesanan awal dan rawatan berkesan, sekitar 20% wanita dengan barah payudara akan meninggal disebabkan penyakit tersebut, dan ia merupakan bentuk barah kelima yang mengakibatkan kematian tertinggi bagi wanita. Kajian Kementerian Kesihatan Malaysia pula menunjukkan kira-kira 94% kes yang dirawat di hospital kerajaan sudah ditahap paling kritikal dan sukar dipulihkan dan kemungkinannya membawa maut.

Apabila timbulnya soalan mengenai kanser payudara, sudah tentu setiap wanita berasa gerun dan risau, kerana sebagai seorang wanita, kemungkinan untuk mendapat kanser payudara itu adalah satu kenyataan yang perlu dihadapi. Setiap wanita secara semulajadi sudah mempunyai salah satu faktor risiko untuk mendapat kanser payudara. Maka, adalah amat penting bagi setiap wanita mengetepikan perasaan gerun, malu atau risau tersebut dan mempunyai kesedaran terhadap kanser payudara.

Kanser payudara tidak hanya tertumpu kepada bahagian payudara malah ia juga merebak ke bahagian limfa melalui saluran darah dan kemudian tersebar ke seluruh badan terutamanya ke bahagian tulang, hati, paru-paru, kelenjar adrenal dan ovary.  Dianggarkan lebih 35% dari kanser payudara mungkin telah pun merebak atau mengalami metastasis sewaktu ia dikesan. Metastasis adalah satu proses di mana sel-sel kanser telah merebak ke bahagian-bahagian lain di seluruh tubuh badan. Setelah mengetahui faktor-faktor risiko tersebut, setiap wanita juga harus peka terhadap tubuh badan sendiri dan mengesan perubahan-perubahan yang berlaku kepada diri sendiri. Gejala utama yang mungkin dialami oleh pesakit adalah adanya KETUMBUHAN, pengeluaran CECAIR LELEHAN dari puting, dan SAKIT atau ketidakselesaan di sekitar payudara. Sekiranya terdapat mana-mana gejala tersebut, pesakit haruslah berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.

Para wanita boleh meningkatkan kesedaran masing-masing terhadap penyakit ini dengan sentiasa peka terhadap gejala-gejala kanser payudara dan melakukan beberapa kaedah saringan yang mudah. Setiap wanita seharusnya mengetahui cara-cara untuk melakukan pemeriksaan payudara sendiri (PSP). Pemeriksaan ini sungguh mudah dilakukan dan harus dilakukan sekali sebulan beberapa hari setelah darah haid berhenti. Pemeriksaan payudara juga boleh dilakukan oleh kakitangan kesihatan sewaktu pemeriksaan kesihatan. Bagi wanita yang berumur 40 tahun ke atas, ujian saringan mammogram juga harus dijalankan. Ujian mammogram dapat mengesan perubahan pada tisu payudara yang mungkin terlalu kecil untuk dikesan secara pemeriksaan fizikal sahaja. Sekiranya perlu, doktor akan melakukan pemeriksaan lanjutan seperti mengambil biopsi atau sampel tisu payudara.

Malangnya, ramai di kalangan wanita yang mempunyai gejala-gejala kanser payudara, enggan tampil untuk mendapatkan nasihat doktor. Ada di kalangan mereka yang enggan menerima kenyataan bahawa sesuatu yang serius sedang berlaku dan mereka beranggapan bahawa perkara itu akan hilang dengan sendirinya sekiranya mereka tidak mengendahkannya. Pemikiran begini adalah amat merbahaya dan merugikan pesakit itu sendiri. Sekiranya kanser payudara dikesan pada peringkat awal, kebarangkalian prognosis atau kesudahan yang lebih optimis adalah lebih tinggi berbanding kes kanser payudara yang dikesan pada peringkat lewat.

Naluri kita sebagai wanita adalah untuk menyayangi, mengasihi dan menjaga orang lain seperti ibu bapa, suami dan anak-anak kita. Sudah tiba masanya untuk kita menyayangi diri sendiri. Kanser payudara. Apa yang penting? Adalah Kesedaran dalam diri kita sebagai seorang wanita.

Thursday, 19 May 2016

PENDIDIKAN E-LEARNING MEMBERI KESAN KEPADA GOLONGAN MUDA

OLEH: Norliyana Binti Jaafar

Perkataan e-learning dalam konteks pendidikan di Malaysia kini mula hangat diperkatakan. Sebelum melangkah lebih jauh, cuba kita definisikan apakah makna e-learning tersebut,definisi ‘e-learning’ atau electronic learning ini seringkali berubah-ubah selaras dengan kemajuan teknologi dan juga seringkali di salah tafsirkan dalam iklan-iklan promosi pendidikan. Secara umumnya, ‘e-learning’ adalah sebarang pengajaran dan pembelajaran yang menggunakan rangkaian elektronik (LAN,WAN atau Internet) untuk menyampaikan isi kandungan, interaksi atau pemudahcaraan. Internet, Intranet, satelit, tape audio/video, TV interaktif dan CD ROM adlah sebahagian media elektronik yang dimaksudkan di dalam kategori ini. Maka, konsep e-learning ini adalah meluas dan bukannya sekadar pembelajaran atas talian (Online) semata.

Perkembangan e-learning di Malaysia adalah baru jika dibandingkan dengan negra-negara barat dan negara jiran, Singapura, Agenda IT Kebangsaan (NITA) telah dilancarkan pada Disember 1996 oleh National IT Council (NITC) yang dipengerusikan oleh YAB Tun Dr Mahathir Mohamad, mantan Perdana Menteri Malaysia, NITA memberikan garis panduan bagaimana teknologi maklumat dan komunikasi, ICT dapat digunakan untuk menjadikan Malaysia sebuah negara maju selaraskan dengan Wawasan 2020 (NITC, 2001). Salah satu inisiatif awal NITC adalah untuk mewujudkan Koridor Raya Multimedia, MSC bagi mencapai NITA. Strategi yang telah dirancangkan oleh NITC ialah ‘e-community’,’e-public services’,’e-learning’,’e-economy’, dan’e-sovereignty’. Kementerian Pendidikan Malaysia dan sector swasta seperti MIMOS dan Kumpulan Utusan pula telah dipertanggungjawabkan untuk menjayakan agenda ‘e-learning’ kebangsaan.

Banyak perbincangan yang telah dibuat untuk membuat perbandingan di antara kaedah pembelajaran tradisional dengan e-learning. Kaedah tradisional dikatakan tidak menjadikan suasana pembelajaran aktif berbanding dengan e-learning. Pelajar pada zaman ini yang digelar pelajar ‘Net Generation’ atau ‘Millenial’ mahupun professor mengubah cara pengajaran mereka. Pelajar Millenial adalah bijak tetapi kurang sabar. Mereka mengharapkan keputusan segera dan selalu tertarik dengan alatan elektronik yang canggih. Oleh itu, berdasarkan kepada sikap semulajadi mereka, mungkin boleh dikatakan bahawa kaedah e-learning adalah lebih sesuai untuk generasi baru ini.

Namun, berpegang kepada tiada satu kaedah pengajaran yang sesuai untuk semua orang. Tidak berapa lama dulu juga, Kementerian Sumber Manusia mengeluarkan fakta mengenai factor-faktor yang menyebabkan siswazah mengganggur di Malaysia ini. Salah satu sebabnya ialah kurangnya kemahiran sosial dalam kalangan siswazah tersebut. Bolehkah diandaikan bahawa e-learning yang kebiasaannya dibuat secara berseorangan mengurangkan kemahiran interpersonal pelajar?

Dunia menyaksikan perkembangan pesat yang berlaku pada zaman Revolusi Perindustrian pada akhir kurun ke-18, dan bertitik tolak dari situ perkembangan secara menyeluruh berlaku samada pembangunan ekonomi, seni dan kebudayaan serta sektor komunikasi. Begitu juga dengan dunia pendidikan ekonomi, seni dan kebudayaan serta sektor komunikasi. Begitu juga dengan dunia pendidikan yang tidak dapat lari mengalami perubahan ini secara evolusi dan revolusi. Bermula daripada pembelajran secara tidak formal daripada orang yang lebih tua dan berpengalaman, kepada pendidikan yang lebih formal iaitu pengajian pondok. Kemasukan penjajah Inggeris walaupun meninggalkan kesan pahit untuk diingati, namun peninggalan sistem pendidikan Inggeris juga telah member suntikan kepada perkembangan pendidikan di Tanah Melayu pada ketika itu. Dan kini perkembangan pesat telah mewarnai dunia pendidikan kita seiring dengan kemajuan dan kecanggihan teknologi komunikasi massa. Terbaru dan terkini merupakan pembelajaran e-learning semakin mendapat tempat dihati penuntut ilmu di Malaysia.

E-learning adalah salah satu kaedah alternative yang popular dalam proses pembelajaran pada hari ini. Ia merupakan sistem pendidikan yang membantu pelajar dengan menggunakan medium internet, intranet dengan computer. Ia merupakan satu teknologi yang digunakan secara meluas dalam pendidikan tinggi untuk tujuan komunikasi di negara-negara barat seperti Amerika Syarikat dan Australia. Teknologi diperlukan dalam pendidikan tinggi untuk meningkatkan kualti pembelajaran, mempertingkatkan jalan masuk ke pendidikan dan kursus, mengurangkan perbelanjaan pendidikan juga meningkatkan keberkesanan pendidikan. Di Malayisa, kebanyakan university menggunakan sistem e-learning tersendiri sama ada perisisan open-source ataupun Learning Management System (LMS) yang berlesen. Secara umumnya, e-learning merupakan kandungan pembelajran yang boleh didapati dalam beberapa fromat yang berbeza, misalnya secara teks atau imej video, dan dihantar menerusi dan dihantar menerusi Internet, computer individu, personal digital assistant (PDA) atau Implementasi E-Pembelajaran ini dengan kelebihan-kelebihan yang ada padanya dapat mempercepatkan lagi proses pembangunan modal insane yang sangat dituntut oleh pihak kerajaan Malaysia kerana modal insane yang bestari ini akan berupaya menangani segala cabaran dalam merealisasikan Wawasan 2020.

E-learning juga memudahkan pengajar atau pensyarah memuat naik nota-nota, latihan, dan urusan berkaitan kuliah mereka. Mereka dapat menjimatkan masa pensyarah kerana mereka dapat membuat pengumuman dan berita-berita terkini dengan cepat dan mudah. Selain itu, ia juda dapat member pendedahan kepada pelajar tentang ilmu teknologi dan siber seterusnya memperkembangkan lagi tahap intelektual pelajar. Hal ini demikian kerana dapat menjimatkan kos kewangan kerana pensyarah mahupun pelajar tidak perlu membuat “print out’ nota-nota mereka. Kos bagi penggunaan kertas juga dapat dikurangkan serta dapat meringankan beban institusi pendidikan keran perbelanjaan menyewa dan menyediakan tempat belajar murid dapat dikurangkan.

Pelajar juga boleh meneroka ilmu yang kemungkinan tidak disediakan di sekolah harian biasa. Ia adalah merentas sempadan dan menjangkau sumber dari pihak luar negara. Oleh itu, pemikiran pelajar tidak konvensional malahan persepsi mereka juga terbuka, lebih positif, tidak ketinggalan dan maju ke hadapan. Pelajar dapat menjimatkan masa dalam proses pengukuhan fakta perbincangan melalui carian maklumat di Internet tanpa perlu meninggalkan sesi perbincangan dalam talian, mereka juga dapat belajar pada masa yang dikehendaki dan memadankan dengan jadual harian mereka. Pengajian jarak jauh bagi yang telah bekerja, e-learning sangat membantu dalam mengurangkan kos perjalanan dan dapat disesuaikan dengan tuntutan kerjaya.

Keburukan e-learning ialah akan melahirkan sekumpulan pelajar yang tidak mempunyai perasaan hormat terhadap guru-gurunya kerana mereka tidak berinteraksi secara berhadapan dengan guru mereka. Kehilangan nilai-nilai tersebut  akan merosakkan hubungan antara seorang guru dan pelajarnya. Tidak semua mata pelajaran di sekolah boleh diajar secara berkesan menggunakan e-learning. Contohya, mata pelajaran Matematik yang memerlukan latihan tubi dan proses pembelajarannya perlu dipantau oleh seorang guru. Selain itu, tidak menarik perhatian para pelajar kerana tiada siapa yang memantau aktiviti mereka. Kerana para guru tidak tahu sama ada para pelajar menumpukan perhatian terhadap soalan atau jawapan yang dikemukan ataupun mereka sibuk dengan perkara lain. Hal ini demikian, menyukarkan pelajar untuk berkongsi atau bercerita masalah dengan pensyarah mereka berkaitan aspek pembelajaran. Akhir sekali, menyukarkan pelajar terutama golongan miskin yang tidak mampu mendapatkan perkhidmatan internet. Ini menyebabkan mereka tidak dapat melihat perkara-perkara yang dipaparkan dalam E-learning.

Kesimpulannya, e-learning atau e-pembelajaran merupakan satu dimensi baru yang member kelebihan kepada pengguna pada masa kini. Bersesuaian dengan persekitaran kini yang sentiasa mengutamkan penggunaan masa dan perancangan kewangan yang bijak. Dengan kuasa global yang hanya dihujung jari, diharapkan dapat melahirkan insane yang berilmu dan berpengatahuan luas sekaligus dapat meningkatkan taraf hidup bangsa agama, dan negara. Kerajaan dan pihak NGO perlulah mengambil peluang mengaplikasikan e-learning dalam organisasi masing-masing lantaran keistimewaan dan kelebihan yang ditawarkan. Tetapi kita mestilah berganding bahu bagi memperbaiki serta mengatasi keburukan dan masalah dalam mengaplikasikann e-learning dalam pendidikan di Malaysia.