OLEH :
MUHAMMAD FAIZ BIN MAZLAN
Sektor
pertanian sememangnya merupakan sektor yang terpenting bagi negara-negara
membangun seperti Malaysia. Malah ia merupakan antara ciri terpenting yang
membezakan status antara negara-negara membangun dan negara-negara maju. Sektor
ini jugalah yang telah menyumbang kepada asas pembentukan ekonomi Malaysia di
dalam era selepas merdeka yang mana pada masa tersebut, majoriti penduduk
tertumpu kepada aktiviti ekonomi berasaskan pertanian dan perlombongan.
Namun,
dengan kepesatan pembangunan dan kemajuan negara, sektor pertanian
beransur-ansur dipandang sayu. Para petani juga tidak lagi berminat menjalankan
kerja-kerja tani yang dahulunya pernah menjadi pekerjaan turun-temurun. Lebih
parah, generasi pelapis yang diharapkan akan meneruskan pekerjaan turun-temurun
itu lebih berminat berhijrah ke bandar-bandar besar mencari pekerjaan yang
lebih ´bermaruah´ dan menawarkan pendapatan yang lebih tinggi dan terjamin
dalam sektor perindustrian.
Hal
ini kerana imej pekerjaan di sektor perindustrian dilihat lebih tinggi dan
memiliki kemudahan sosial yang lebih baik. Peluang membaiki taraf ekonomi
melalui pendapatan di sektor perkilangan dan perkhidmatan lebih terjamin.
Sebaliknya, pendapatan di sektor pertanian tidak stabil. Penghijrahan tenaga
buruh dari sektor pertanian ke sektor bukan pertanian ini mengakibatkan
kekurangan tenaga buruh di sektor pertanian. Malah, bilangan ladang di
Semenanjung Malaysia yang mengalami masalah tenaga buruh turut meningkat tahun
demi tahun.
Kekurangan
tenaga buruh yang mendesak menyebabkan ramai pekerja asing dibawa masuk. Di
antara tahun 2001-2003 sahaja, seramai 19,343 buruh asing tambahan telah
diambil bekerja dalam sektor pertanian (termasuk sektor peladangan). Lebih
parah, petani asal yang tinggal adalah terdiri daripada petani yang sudah tua
dan uzur. Berdasarkan satu kajian yang telah dijalankan oleh Kementerian pada
tahun 2002/2003, 39% daripada petani yang ditemubual berumur lebih dari 55 tahun.
Selain
daripada faktor penghijrahan ini, antara masalah yang dihadapi oleh sektor
pertanian kini ialah saiz ladang yang berskala kecil dan tidak ekonomik. Saiz
tanah yang tidak ekonomik menyebabkan produktiviti dan kos pengeluaran yang
tinggi. Kajian yang dijalankan mendapati 65% pesawah padi mengusahakan sawah
yang bersaiz kurang dari satu hektar. Sub sektor pengeluaran makanan pertanian
juga terpaksa bersaing dengan sektor perladangan untuk mendapatkan tanah yang
baik. Umpamanya, sektor perladangan sahaja menguasai 83% daripada 6.36 juta
hektar tanah yang bertanam.
Di
samping saiz tanah yang kecil dan tidak ekonomik, terdapat beberapa faktor lain
yang mempengaruhi daya pengeluaran yang rendah dan kos purata yang tinggi di
sub sektor pekebun kecil. Pertama ialah kekurangan tenaga buruh yang
berpelajaran, produktif dan cekap. Kekurangan ini akan menyebabkan perancangan
yang baik dan pengurusan yang cekap tidak dapat dilaksanakan. Juga, petani yang
kurang pendidikan akan menghadapi masalah kekurangan modal kerana mereka sukar
memperolehi kredit daripada institusi kewangan. Untuk mendapatkan kredit,
mereka terpaksa memenuhi syarat dan keperluan yang kompleks yang ditetapkan
oleh institusi berkenaan.
Kekurangan
modal pula merupakan penghalang untuk mereka menyerap teknologi moden,
terutamanya menanam semula tanaman getah yang telah tua dengan baka benih atau
klon yang tinggi daya pengeluarannya dan lumayan hasilnya. Sebabnya untuk
menanam semula, petani terpaksa menunggu sekurang-kurangnya empat tahun untuk mendapatkan
hasil. Dalam tempoh tersebut, mereka tidak mempunyai sebarang sumber pendapatan
semasa lagi. Dengan itu, walaupun teknologi moden berpotensi memberikan manfaat
yang besar, mereka tidak berkemampuan untuk menerimanya.
Disebabkan
kekurangan pengetahuan tentang teknologi moden, kebanyakan petani tidak
mengguna baka benih atau klon yang berdaya pengeluaran tinggi yang terkini,
tidak menggunakan baja dan bahan kimia secara optimum dan betul, tidak
melaksanakan pembaik pulih tanah dan mengamalkan adat dan budaya tradisi yang
tidak mendorong ke arah memperoleh daya pengeluaran yang tinggi.
Selain
daripada itu, negara juga menghadapi masalah kekurangan benih di sektor-sektor
kecil tertentu. Bagi sektor sayur-sayuran umpamanya, 95% benih yang diperlukan
adalah diimport dari Thailand, Taiwan, China, Australia dan lain-lain lagi.
Benih buah-buahan seperti benih hybrid tembikai yang berhasil tinggi pula perlu
djimport dari luar negeri seperti Taiwan. Harga benih hybrid ini agak tinggi
dan mengakibatkan peningkatan kos pengeluaran. Negara juga perlu mengimport 25%
benih ikan untuk menampung keperluan semasa.
Dari
segi pelaburan swasta dalam sektor makanan, ianya lebih rendah jika
dibandingkan dengan pelaburan di dalam sektor pembuatan atau sektor
perladangan. Ini kerana masih wujudnya persepsi bahawa sektor pertanian mundur
dan memberi pulangan yang kurang berbanding sektor lain. Selain daripada itu,
sektor pengeluaran makanan juga memerlukan usaha lebih intensif berbanding
dengan sektor-sektor lain. Sebagai usaha untuk memodenkan sektor pertanian dan
meningkatkan ladang sedia ada kepada ladang berskala komersil, Kerajaan perlu
menggalakkan lebih banyak syarikat swasta yang besar untuk menceburi sektor
pengeluaran makanan.
Liberalisasi
perdagangan di bawah WTO dan AFTA juga akan menyebabkan hasil pertanian negara
menghadapi persaingan lebih sengit daripada negara-negara pengeluar yang lain
yang mempunyai kelebihan kos pengeluaran yang rendah. Lambakan hasil pertanian
dijangka akan berlaku apabila sekatan bukan tarif di negara-negara ahli yang
mempunyai kos pengeluaran lebih tinggi dihapuskan.
Import
makanan negara turut meningkat setiap tahun kesan dari pertambahan bilangan dan
taraf hidup penduduk. Pada tahun 1996, import makanan (termasuk makanan
ternakan) dan input pertanian adalah RM10.5 bilion berbanding dengan RM4.6
bilion pada 1990. Pada tahun 1997 (Januari-Oktober) importnya adalah RM9.1
bilion.
Kenaikan
permintaan makanan membawa kepada kenaikan harga makanan. Pada 1996, kenaikan
harga makanan menyumbangkan 57% daripada kenaikan Indeks Harga Pengguna.
Kejatuhan ringgit sejak Julai 1997 sebanyak 40% (RM2.6 kepada RM3.6 sedolar)
telah meningkatkan kos import makanan dan input pertanian.
Malaysia
mengalami defisit dalam perdagangan makanan (termasuk makanan binatang) dan
input pertanian. Ini bermakna terdapat lebihan aliran keluar wang negara bagi
membiayai import. Pada tahun 1996 eksportnya adalah sebanyak RM4.2 bilion, dan
pada 1997 (Januari-Oktober 1997) adalah RM4.5 bilion. Ini bermakna defisit
dalam perdagangan makanan dan input pertanian ialah RM6.3 bilion pada 1996, dan
RM4.6 bilion pada 1997.
Krisis
kewangan telah menyedarkan Malaysia akan perlunya peningkatan dalam aspek
keselamatan makanan negara melalui pengeluaran makanan sendiri dan menyusun
strategi bagi mengurangkan pergantungan makanan dari negara lain. Justeru, di
sinilah sektor pertanian memainkan peranan pentingnya.
Sektor
pertanian dan industri asas tani perlu mengalami transformasi untuk menjadikan
sektor ini lebih moden, dinamik dan berdaya saing. Justeru, kerajaan di bawah
kementerian yang berkaitan melihat usaha-usaha berikut sebagai jalan penyelesaiannya,
melalui transformasi ladang saiz tanah yang tidak ekonomik menyebabkan
produktiviti dan kos pengeluaran yang tinggi. Program untuk memperolehi faedah
berskala seperti projek kelompok, pemuliharaan tanah terbiar secara
estet/kelompok, Taman Kekal Pengeluaran Makanan dan Projek 10 Tan Padi telah
pun dilaksanakan. Dalam skim-skim ini, Amalan Pertanian Baik (Good Agriculture
Practices) digalakkan supaya keluaran pertanian yang dihasilkan adalah
berkualiti dan selamat dimakan. Program Plantation Integration Areas (TAC) juga
dilaksanakan bagi mengoptimumkan penggunaan kawasan perladangan bagi menjanakan
hasil sampingan dengan ternakan lembu.
Transformasi
Tenaga Buruh Kepada Penggunaan Mekanisasi, Otomasi dan Teknologi. Negara perlu
meningkatkan tahap dan proses pengeluaran daripada yang bergantung berat kepada
tenaga buruh kepada berintensifkan modal, teknologi dan berasaskan ilmu
pengetahuan. Program pemindahan teknologi dan cara tanaman yang baru bagi
meningkat produktiviti telah dilaksanakan. Ini termasuk program inkubator dan
belia tani bagi melahirkan usahawan tani, program fertigasi tanaman pertanian,
dan sistem ternakan ayam secara tertutup (closed house system). Di dalam
pembangunan perikanan pula, usaha bagi meningkatkan tahap teknologi
dilaksanakan melalui program pen culture, akuakultur secara nukleus, open sea
cage culture dan mengurangkan kehilangan hasil akibat ´post harvest´.
Pengurusan
ladang yang moden, program latihan dan kemudahan akan dipertingkatkan bagi
memastikan peladang dibekalkan dengan kemahiran teknikal dan teknologi bagi
meningkatkan produktiviti manakala pakar-pakar dan pekerja yang terlibat dalam
aktiviti bimbingan dan latihan dilengkapkan dengan pengetahuan dan kepakaran
bagi membantu masyarakat tani. Untuk mencapai tujuan ini, Kementerian Pertanian
dan Industri Asas Tani sedang berusaha meningkatkan khidmat pengembangan dan
khidmat nasihat teknikal. Inkubator-inkubator bagi memberi latihan tambahan
juga telah dibina untuk memberi latihan kepada golongan sasar di ladang
sebenar.
Daya
saing yang lebih tinggi, kualiti produk yang rendah dan tidak seragam
menyebabkan hasil pertanian negara tidak dapat bersaing di pasaran global.
Dengan harga yang tinggi di pasaran domestik dan jangkaan lambakan hasil
pertanian dari luar negara yang lebih murah berikutan pembukaan pasaran di
bawah pelaksanaan WTO dan AFTA, hasil pertanian negara akan menghadapi
persaingan yang tinggi. Sehubungan itu, hasil pertanian negara perlu berkualiti
dan mematuhi piawaian keselamatan makanan antarabangsa bagi membolehkan hasil
pertanian dieksport mahupun dipasarkan di dalam negara. Konsep jaminan kualiti
daripada ladang ke meja hidang akan diamalkan secara meluas melalui skim
akreditasi serta kawalselia dan pemeriksaan veterinar yang ketat di ladang
ternakan, kilang makanan haiwan, rumah penyembelihan, kilang pemprosesan,
stesen kuarantin dan setiap pintu masuk ke dalam negara.
Mempelbagaikan
pulangan pelaburan, masalah pulangan terhadap pelaburan yang rendah dan lambat
dapat diatasi dengan memberi tumpuan kepada aktiviti integrasi tanaman dan ternakan,
intercropping, mixed farming dan juga marinovasi. Aktiviti pemprosean hiliran
juga merupakan satu usaha untuk mempelbagaikan aktiviti ekonomi masyarakat tani
dan menambahkan pendapatan mereka dalam mengeluarkan produk yang diproses yang
mempunyai nilai tambah yang tinggi.
Pengezonan
(zoning), selaras dengan pendekatan pembangunan pertanian berasaskan produk,
pembangunan secara sektoral melalui pengezonan kawasan pengeluaran pertanian
akan dilaksanakan. Ini bertujuan bagi membolehkan pembangunan pertanian secara
kelompok dapat dihasilkan supaya faedah perbandingan (comparative advantage)
diperolehi. Zon-zon pengeluaran ini termasuklah zon perindustrian akuakultur
(ZIA), zon-zon tanaman, zon-zon pengeluaran ternakan dan kawasan integrasi
ladang (TAC). Perlaksanaan zon-zon ini akan membolehkan para pengusaha
meningkatkan hasil mereka kerana keadaan agro-klimatik yang sesuai untuk
aktiviti tertentu. Selain daripada itu, ia juga membolehkan kerajaan menumpukan
khidmat sokongan mengikut jenis aktiviti pertanian yang dilaksanakan di kawasan
tertentu.
Insentif
untuk projek pengeluaran makanan, kerajaan juga menyediakan insentif istimewa
bagi projek pengeluaran makanan seperti yang diperuntukkan di bawah Akta Cukai
Pendapatan 1967. Di bawah insentif ini, syarikat-syarikat yang mengusaha atau
melabur dalam projek pengeluaran makanan layak mendapatkan insentif khas selain
daripada insentif-insentif lain seperti taraf perintis, insentif untuk
menggalakkan eksport dan sebagainya.
Latihan,
Pusat Latihan Pertanian Negara, dipertanggungjawabkan bagi merancang,
menyelaras dan menilai program latihan kemahiran selaras dengan Standard
Kemahiran Pekerjaan Kebangsaan (NOSS) bagi melahirkan pekerja dan usahawan tani
yang berpengetahuan dan berkemahiran. Selain daripada itu, Kementerian
Pertanian dan Industri Asas Tani juga sedang membina Kolej Pertanian di Kedah
di samping meningkatkan taraf 40 institusi sedia ada supaya dapat memberikan
latihan yang lebih baik kepada golongan sasar.
Kemudahan
Infrastruktur, Sebagai usaha untuk meningkatkan khidmat sokongan kepada sektor
pertanian, kerajaan juga sedang berusaha meningkatkan kemudahan infrastruktur
serta khidmat sokongan di sektor pertanian. Dalam hal ini, kemudahan-kemudahan
seperti saliran dan pengairan serta jalan ladang akan diperbaiki dan
dipertingkatkan dari masa ke semasa. Selain daripada itu, kemudahan pemasaran
seperti pusat pengumpulan dan pengedaran produk pertanian juga disediakan.
Tujuannya ialah untuk meningkatkan keberkesanan rangkaian pemasaran produk
pertanian dari ladang ke pasaran.
Walaupun
peruntukan yang besar diperlukan oleh sektor pertanian, kedudukan dan
sumbangannya terhadap ekonomi negara tidak dapat disangkal. Justeru, mengekal
dan memeliharanya merupakan langkah yang sangat bijak oleh kerajaan disamping
dapat memastikan bekalan makanan sentiasa mencukupi bagi umat warganegara
khasnya dan warga dunia amnya yang semakin bertambah.