Oleh: Nor Hidayah binti
Ramlan
Wanita dicipta oleh Allah
S.W.T sebagai makhluk yang mempunyai keistimewaan tersendiri. Gender bukan
penghalang bagi wanita untuk menonjolkan diri. Sumbangan wanita dalam bidang
ekonomi dan pembangunan negara sudah tidak boleh dipertikaikan lagi. Wanita
bukan sahaja berperanan mendidik generasi malah turut memberikan sumbangan
terhadap pembangunan negara. Pepatah juga ada mengatakan ‘tangan yang menghayun
buaian mampu menggoncang dunia’ sudah tebukti dengan meningkatnya peratus
kejayaan dalam semua sektor yang diceburi oleh wanita. Firman Allah SWT “dan
orang yang beriman lelaki dan perempuan, sesetengahnya menjadi penolong bagi
sesetengah yang lain, mereka menyuruh berbuat kebaikan dan melarang dari
berbuat kejahatan…” (At-Taubah: ayat 71). Hal ini bermakna wanita dan lelaki
bekerjasama di antara satu sama lain dalam menyemarakkan arena kepimpinan.
Sesungguhnya wanita banyak memberi sumbangan dan tenaga kepada pembangunan
negara.
Peranan wanita dalam bidang ekonomi sudah tidak boleh
dipertikaikan lagi. Sejak tahun 1990, bilangan wanita yang menceburi kerjaya
professional, pengurusan dan teknikal sudah meningkat hingga ke 47 peratus.
Laporan Pembangunan Manusia Asia Pasifik 2010 (UNDP) menunjukkan pertumbuhan
negara kasar mampu meningkat daripada dua peratus kepada empat peratus setiap
tahun jika kadar penyertaan wanita dalam pekerjaan meningkat kepada 70 peratus.
Kini, wanita tidak hanya menumpukan kepada soal pengurusan keluarga sebaliknya
lebih meluas dalam pembangunan negara. Antara wanita yanag Berjaya menempah
nama dipersada negara ialah Datuk Maznah Hamid iaitu dalam SECURIFORCE GROUP,
Datuk Khatijah Ahmad dalam KAF-Seagroatt & Campbell Group dan lain-lain.
Sikap rajin bekerja dan tekun serta memberikan perhatian sepenuhnya ketika
bekerja menjadikan wanita sasaran utama industri dalam negara.
Kaum wanita semakin hebat
apabila terlibat dengan pembangunan politik. Mereka diberi peluang dalam
memegang portfolio dalam kabinet seperti Datuk Paduka Rafidah Aziz dan Datuk
Paduka Zaleha Ismail. Sejarah sendiri telah tercatat bahawa Khalifah Umar ibn
Al Khatab juga pernah mendapat nasihat dan teguran dalam melaksanakan
undang-undang dan pentadbiran negara dari kaum muslimah pada masa zaman
pemerintahan khalifah. Penglibatan mereka dalam badan-badan pentadbiran di
peringkat kebangsaan dan tempatan membawa kepada dasar-dasar yang memfokuskan
kepada wanita, kanak-kanak dan keluarga. Sebuah perjanjian telah diumumkan oleh
Perhimpunan Umum Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu pada tahun 1979 iaitu
konvensyen terhadap Hak Kanak-Kanak (CRC) yang memberi perhatian terhadap hak
kanak-kanak (Unicef.org, 2013). Justeru dengan peranan wanita dalam politik ia
dapat meningkatkan pembangunan negara ke arah negara yang berdaya saing seiring
dengan Wawasan 2020.
Pembangunan sosial juga banyak melibatkan kaum wanita
dari segi sahsiah dan perpaduan ummah. Datuk Sharizat Abdul Jalil ialah Menteri
Pembangunan Wanita dan Keluarga di Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan
Masyarakat merupakan ahli wanita politik yang membawa kepada perjuangan hak
serta kebajikan para wanita supaya terjamin. Golongan ibu berperanan dalam
memberikan bimbingan dalam membentuk sebuah generasi yang matang, berwibawa dan
berkemampuan. Menurut Datuk Dr. Siti Zaharah Sulaiman dalam simposium yang
bertemakan “Wanita Alaf Baru Abad ke 21”, wanita hari ini telah mempunyai imej
dan tanggungjawab sosial yang berbeza sesuai dengan kehendak dan perubahan
zaman. Badan NGO seperti Majlis Kebangsaan Pertubuhan-Pertubuhan Wanita (NCWO),
Pertubuhan Tindakan Wanita Islam (PERTIWI) dan lain-lain telah menyediakan
pelbagai program pembangunan jati diri dan kemudahan sokongan. Sumbangan besar
golongan wanita ini secara langsung membangunkan negara ke arah perkembangan
yang padu dan berwawasan.
Melihat dari segi
pembangunan pendidikan, pencapaian wanita dalam akademik adalah lebih baik
berbanding dengan lelaki. Wanita telah menunjukkan bahawa peningkatan tahap
literasi iaitu daripada 50 peratus pada 1970 kepada 80 peratus pada 2000.
Setiap tahun kita dapat melihat pelajar perempuan lebih ramai mencapai kejayaan
cemerlang dalam pelajaran. Jurang perbezaan pencapaian akademik pelajar lelaki
dan perempuan di peringkat persekolahan memberi impak kepada enrolmen pelajar
di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan ia terbukti apabila jumlah
kemasukan pelajar perempuan di IPTA seluruh negara secara umumnya melebihi 70
peratus. (Laporan Awal Pelan Pembangunan Pendidikan, 2013). Selain itu juga,
wanita Melayu pertama yang mendapat Ijazah Doktor Falsafah (PhD), Puan Sri Dr.
Fatimah Hamid Don telah menerima anugerah Tokoh Wanita 2012 kerana sumbangan
beliau dalam pembangunan bidang pendidikan. Hal ini terbukti bahawa pihak
kerajaan sangat menghargai wanita pada masa ini.
Konklusinya, Dasar Wanita Negara yang ditubuhkan oleh
kerajaan adalah untuk wanita bergerak seiring dengan lelaki dan tiada isu
diskriminasi jantina ditimbulkan. Walaupun kaum hawa sudah bergerak seiring
dengan kaum adam, namun nilai-nilai ketimuran seperti beretika dan sopan santun
tidak harus dilupakan. Jikalaupun wanita diberi peluang yang banyak dalam
mengejar dunia luar, namun peranan di dalam rumah tangga juga amatlah penting
kerana dari institusi keluarga yang melahirkan wanita adalah insan yang
cemerlang pada masa hadapan.