Oleh : Surianty Binti
Alias
Apa itu kanser
payudara? Kanser payudara merupakan sejenis penyakit di mana terdapatnya
sel-sel kanser (malignant) dalam tisu-tisu payudara. Ia merupakan antara
penyebab utama kematian di kalangan wanita seluruh Malaysia. Hampir 3,500 kes
kanser payudara dikesan setiap tahun. Penyakit barah payudara merupakan barah
tisu payudara dan ia merupakan penyakit barah paling meluas di kalangan wanita.
Kanser ini akan menyerang sekitar 10% semua wanita pada semua peringkat umur di
dunia Barat. Walaupun usaha meluas dijalankan bagi pengesanan awal dan rawatan
berkesan, sekitar 20% wanita dengan barah payudara akan meninggal disebabkan
penyakit tersebut, dan ia merupakan bentuk barah kelima yang mengakibatkan
kematian tertinggi bagi wanita. Kajian Kementerian Kesihatan Malaysia pula
menunjukkan kira-kira 94% kes yang dirawat di hospital kerajaan sudah ditahap
paling kritikal dan sukar dipulihkan dan kemungkinannya membawa maut.
Apabila timbulnya soalan mengenai kanser
payudara, sudah tentu setiap wanita berasa gerun dan risau, kerana sebagai
seorang wanita, kemungkinan untuk mendapat kanser payudara itu adalah satu kenyataan
yang perlu dihadapi. Setiap wanita secara semulajadi sudah mempunyai salah satu
faktor risiko untuk mendapat kanser payudara. Maka, adalah amat penting bagi
setiap wanita mengetepikan perasaan gerun, malu atau risau tersebut dan
mempunyai kesedaran terhadap kanser payudara.
Kanser payudara tidak hanya tertumpu
kepada bahagian payudara malah ia juga merebak ke bahagian limfa melalui
saluran darah dan kemudian tersebar ke seluruh badan terutamanya ke bahagian
tulang, hati, paru-paru, kelenjar adrenal dan ovary. Dianggarkan lebih 35% dari kanser payudara
mungkin telah pun merebak atau mengalami metastasis sewaktu ia dikesan.
Metastasis adalah satu proses di mana sel-sel kanser telah merebak ke
bahagian-bahagian lain di seluruh tubuh badan. Setelah mengetahui faktor-faktor
risiko tersebut, setiap wanita juga harus peka terhadap tubuh badan sendiri dan
mengesan perubahan-perubahan yang berlaku kepada diri sendiri. Gejala utama
yang mungkin dialami oleh pesakit adalah adanya KETUMBUHAN, pengeluaran CECAIR
LELEHAN dari puting, dan SAKIT
atau ketidakselesaan di sekitar payudara. Sekiranya terdapat mana-mana gejala
tersebut, pesakit haruslah berjumpa dengan doktor untuk pemeriksaan lanjut.
Para wanita boleh meningkatkan kesedaran
masing-masing terhadap penyakit ini dengan sentiasa peka terhadap gejala-gejala
kanser payudara dan melakukan beberapa kaedah saringan yang mudah. Setiap
wanita seharusnya mengetahui cara-cara untuk melakukan pemeriksaan payudara
sendiri (PSP). Pemeriksaan ini sungguh mudah dilakukan dan harus dilakukan
sekali sebulan beberapa hari setelah darah haid berhenti. Pemeriksaan payudara
juga boleh dilakukan oleh kakitangan kesihatan sewaktu pemeriksaan kesihatan.
Bagi wanita yang berumur 40 tahun ke atas, ujian saringan mammogram juga harus
dijalankan. Ujian mammogram dapat mengesan perubahan pada tisu payudara yang
mungkin terlalu kecil untuk dikesan secara pemeriksaan fizikal sahaja.
Sekiranya perlu, doktor akan melakukan pemeriksaan lanjutan seperti mengambil
biopsi atau sampel tisu payudara.
Malangnya, ramai di kalangan wanita yang
mempunyai gejala-gejala kanser payudara, enggan tampil untuk mendapatkan
nasihat doktor. Ada di kalangan mereka yang enggan menerima kenyataan bahawa
sesuatu yang serius sedang berlaku dan mereka beranggapan bahawa perkara itu
akan hilang dengan sendirinya sekiranya mereka tidak mengendahkannya. Pemikiran
begini adalah amat merbahaya dan merugikan pesakit itu sendiri. Sekiranya
kanser payudara dikesan pada peringkat awal, kebarangkalian prognosis atau
kesudahan yang lebih optimis adalah lebih tinggi berbanding kes kanser payudara
yang dikesan pada peringkat lewat.
Naluri kita sebagai wanita adalah untuk
menyayangi, mengasihi dan menjaga orang lain seperti ibu bapa, suami dan
anak-anak kita. Sudah tiba masanya untuk kita menyayangi diri sendiri. Kanser
payudara. Apa yang penting? Adalah Kesedaran dalam diri kita sebagai seorang
wanita.