Thursday, 19 May 2016

PERANAN MEDIA TERHADAP KANAK-KANAK DI MALAYSIA

OLEH: EMELDA DOMINGO

Kanak-kanak hari ini membesar dan melalui pengalaman yang secara kualitinya berbeza dengan kanak-kanak generasi dahulu. Perubahan yang amat ketara dapat dilihat dari aspek bagaimana mereka menggunakan masa, mempunyai peluang yang lebih besar dalam meneroka dunia, dan pembentukan semula landskap persekitaran domestik yang secara langsungnya adalah berhubung dengan pengenalan, perkembangan, dan capaian teknologi media baru yang pesat dan meluas. Dapat kita lihat kanak-kanak kini mereka sudah terdedah dengan media-media seperti television, komputer peribadi, dan disambung kepada kemudahan Internet alatan elektronik seperti cakra padat atau dvd. Mereka juga terdedah kepada penggunaan alatan moden seperti telefon bimbit, perbezaan kanak-kanak kini dengan dahulu jauh berbeza, tidak hairan sekiranya media memberi kesan kepada perkembangan kanak-kanak.

PERANAN MEDIA DALAM PERKEMBANGAN SOSIAL KANAK-KANAK

Media massa juga adalah antara ejen sosial yang berpengaruh dalam kehidupan kanak-kanak. Malah dikatakan televisyen khususnya adalah pelengkap dan sering menjadi pesaing yang mengatasi ejen sosialisasi lain seperti keluarga, sekolah, rakan sebaya, komuniti, dan institusi agama. Pandangan yang paling popular tentang kejayaan fungsi sosialisasi media adalah ia membolehkan kanak-kanak dan remaja menyesuaikan diri dalam masyarakat kerana mereka telah mempelajari tingkah laku yang bersesuaian.  Peranan media sebagai ejen sosialisasi boleh dilihat dari aspek kesan langsung dan tidak langsung hasil daripada pemaparan nilai-nilai sosial secara pasif. Pemaparan nilai sosial oleh media menyumbang kepada pembentukan nilai sosial yang sebenar.

Tayangan yang dipaparkan di televisyen mampu mempengaruhi kanank-kanak, contohnya apabila kanak kanak menonton tayangan Kl ganster banyak bahasa yang digunakan tidak baik. Kanak-kanak gemar menggunakan bahasa yang mereka pelajari di dalam tayangan televisyen. Terdapat juga kajian, yang menunjukan kanak-kanak akan mudah terpengaruh dengan aksi yang di tayangkan contohnya aksi yang berunsur keganasan. Salah satu kajian analisis terhadap kesan prososial televisyen menunjukkan bahawa program yang dibentuk untuk mengajar nilai persahabatan, penerimaan terhadap kepelbagaian, dan altruisme adalah sangat berkesan kepada kanak-kanak yang berumur di bawah 12 tahun Ini berkemungkinan disebabkan pelajaran yang disampaikan tersebut melibatkan nilai yang asing atau baru bagi kanak-kanak yang harus dikuasai oleh mereka. Beberapa kajian dilakukan terhadap program berbentuk pendidikan-hiburan yang disasarkan kepada kanak-kanak prasekolah seperti rancangan ‘’Boboiboy’’ telah dapat memberi kesan yang positif kepada kanak-kanak. Penontonan yang berterusan terhadap program tersebut dibuktikan dapat meningkatkan keupayaan kanak-kanak untuk menjadi lebih bekerjasama, mempelajari kemahiran menerima dan terlibat dengan orang lain, serta memaparkan nilai yang baik. 

PERANAN MEDIA DALAM PERKEMBANGAN FIZIKAL KANAK-KANAK

Antara masalah fizikal yang sering kali mendapat perhatian umum dan pakar kesihatan adalah lebihan berat badan atau obesiti yang boleh menyumbang kepada punca masalah kesihatan lain seperti risiko penyakit jantung, kencing manis, ketidakstabilan tekanan darah, dan hipertensi. Masalah obesiti boleh terjadi dalam kalangan kanak-kanak dan juga orang dewasa. Mengikut data rasmi Kementerian Kesihatan, kadar obesiti kanak-kanak negara ini adalah 15 peratus, tetapi jumlah itu dipercayai lebih tinggi sekarang terutama di Kuala Lumpur dan Selangor. Trend peningkatan obesiti dalam kalangan kanak-kanak juga terjadi di Barat. Biasanya masalah obesiti ini dihidapi oleh kanak-kanak yang menghabiskan masa dengan menonton televisyen, bermain alat permainan seperti playstation dan mereka yang terlibat dengan aktiviti bermain game online, khususnya mereka yang ketagih.

Masalah obesiti pada zaman kanak-kanak biasanya akan berterusan sehingga dewasa. Hal ini kerana apabila mereka ketagih dengan media elektronik ini, mereka akan mengalami penurunan kadar metabolisme semasa aktiviti menonton televisyen khususnya yang seterusnya penggantian aktiviti fizikal perlakuan duduk berpanjangan dan akhir sekali peningkatan pengambilan makanan berkalori sama ada melalui makan semasa menonton atau terpengaruh dengan iklan dan pemasaran makanan daripada media elektronik. Sehubungan dengan itu, kajian telah membuktikan hampir semua kanak-kanak daripada semua peringkat umur didapati menghabiskan masa sama menggunakan media elektronik 3-5 jam menonton televisyen setiap hari, berbanding membuat kerja lain semasa waktu lapang. Oleh sebab kanak-kanak menghabiskan masa yang banyak dengan media elektronik, adalah munasabah dikatakan media elektronik juga penyumbang kepada peningkatan masalah obesiti dalam kalangan kanak-kanak. Selain itu, masalah kecelaruan pemakanan dan persepsi imej badan yang negatif adalah disebabkan pengaruh media.

 Media yang menggunakan model dan pelakon yang terlalu kurus dilihat sebagai penyumbang kepada peningkatan bilangan remaja yang mengalami masalah kecelaruan pemakanan. Kecelaruan pemakanan biasanya terjadi dalam kalangan remaja dan orang dewasa yang muda dan 10 kali lebih ramai dalam kalangan perempuan berbanding lelaki. Usaha mengaitkan pendedahan kepada model yang sangat kurus atau sangat gemuk dengan sikap dan tingkah laku khalayak menunjukkan terdapat sedikit perkaitan dimana mereka mengangap tidak akan menjadi gemuk kerana melihat pelakon tersebut tidak menunjukan perubahan dari segi fizikal.

PENGGUNAAN MEDIA KANAK-KANAK DAN PRESTASI AKADEMIK

Kecenderungan kanak-kanak dalam penggunan media mendapati pelajar yang menonton televisyen secara sederhana 1-2 jam sehari mendapat skor akademik yang lebih berbanding dengan pelajar yang tidak atau kurang menonton. Hal ini kerana, masa penontonan yang sederhana, televisyen dapat menggalakkan sifat ingin tahu kanak-kanak dan membekalkan pengetahuan. Manfaat menonton televisyen secara sederhana adalah berbeza bergantung pada kelas sosial kanak-kanak. Pelajar daripada keluarga mewah yang tidak atau sedikit menonton mendapat pencapaian yang lebih baik dalam ujian manakala pelajar daripada keluarga miskin lebih rendah pencapaiannya. Hubungan antara penontonan televisyen dan pencapaian akademik sebenarnya adalah hasil daripada faktor lain seperti tahap intelektual kanak-kanak, tahap pendidikan ibu bapa, dan jumlah masa yang digunakan untuk menyiapkan kerja atau latihan sekolah.

Guru dan keluarga adalah sebahagian daripada kanak-kanak. Kanak-kanak yang membesar dalam keluarga yang harmoni penuh kasih sayang dan disiplin yang tinggi, sentiasa bersedia untuk belajar dan mempunyai guru yang bermotivasi untuk memberikan maklum balas kepada muridnya, adalah sumber utama kepada jalan kejayaan yang hebat dalam hidup kanak-kanak sepanjang alam persekolahan mereka. Pelbagai isu pengaruh media dalam kehidupan dan perkembangan kanak-kanak jelas menunjukkan bahawa media atau kanak-kanak tidak bertindak sendirian atau secara semula jadi antara satu sama lain. Banyak faktor lain perlu diambil kira. memahami isu tingkah laku kanak-kanak dengan media dan pengaruh media terhadap tingkah laku kanak-kanak, mendorong kita untuk melihat gambaran yang penuh tentang bagaimana media membentuk dan terbentuk daripada konteks perkembangan zaman kanak-kanak.

PERANAN IBU BAPA DALAM PERKEMBANGAN KANAK-KANAK

Menyedari hakikat bahawa perkembangan zaman kanak-kanak merupakan satu fasa asas yang penting dalam kehidupan individu, ibu bapa perlu mengambil peranan yang proaktif dalam menangani pelbagai isu kekeluargaan amnya dan pengurusan media keluarga khususnya. Pengurusan dan penggunaan media di dalam rumah menuntut kebijaksanaan ibu bapa dalam menanganinya. Umum telah mengetahui bahawa media berpotensi memberikan pengaruh yang besar sama ada positif atau negatif kepada perkembangan kanak-kanak. Ibu bapa perlu mulakan pembentukan tabiat media yang sihat dalam kalangan anak semasa mereka masih kecil atau sebelum mereka mula bersekolah.

Proses pelaksanaan peraturan dan untuk mempengaruhi pemilihan mereka akan menjadi semakin sukar apabila anak-anak semakin membesar. Ibu bapa harus memperhatikan tabiat media mereka sendiri bagi menjadi contoh yang baik kepada anak-anak. Sekiranya perlu, ibu bapa perlu berubah demi kebaikan anak-anak kerana ibu bapa adalah model yang pertama dan penting bagi kehidupan anak-anak. Memastikan penggunaan media anak-anak adalah seimbang dengan aktiviti lain seperti bersukan, riadah dan bermain di luar rumah. Mengawasi rancangan yang ditonton oleh anak-anak dan mencari kesempatan untuk menonton bersama mereka. Kanak-kanak yang muda berisiko tinggi menjadi lebih agresif selepas menonton kandungan ganas di televisyen.

Ibu bapa seharusnya mengehadkan jumlah pendedahan kepada kandungan ganas dan mengawasi tingkah laku mereka selepas menonton. Menggalakkan anak-anak menonton pelbagai jenis program seperti program yang berkait dengan sukan, sains dan alam semula jadi, seni, muzik dan sejarah. Ini kerana terdapat banyak program televisyen yang baik yang membolehkan kita belajar tentang pelbagai perkara dan menyeronokkan. Mengambil berat tentang lokasi yang paling sesuai untuk meletakkan televisyen di rumah. Ibu bapa seharusnya menjauhkan televisyen daripada diletakkan di tempat keluarga menghabiskan kebanyakan masa. Elakkan meletakkan televisyen di bilik anak-anak kerana akan menyukarkan pengawasan.

Secara umum, panduan tersebut adalah antara strategi bagaimana ibu bapa boleh memperkasakan peranan mereka dengan menggunakan media yang ada secara bijaksana dan terurus bukan sekadar menyalahkan pihak lain dan membiarkan sahaja anak-anak menggunakan media tanpa bimbingan dan pemantauan. Lebih-lebih lagi dalam konteks perkembangan media yang pesat hari ini, televisyen konvensional telah mengalami persaingan yang hebat dengan wujudnya saluran televisyen berbayar seperti ASTRO selain teknologi komunikasi baru seperti komputer, Internet, permainan video elektronik, pemain dan perakam video, dan lain-lain. Fenomena ini memungkinkan anak-anak lebih banyak peluang untuk terdedah kepada kandungan yang tidak bersesuaian dengan umur mereka. Justeru, ibu bapalah sepatutnya menjadi ”pengawal” utama yang juga berperanan sebagai ”mata dan telinga” kepada anak-anak supaya mereka berkembang dan membesar dalam persekitaran yang sihat dan sejahtera. Pendek kata, ibu bapa berperanan sebagai pemimpin dalam sesebuah keluarga. Ibu bapa yang berjaya adalah mereka yang melaksanakan tugas dan fungsi keibubapaan sehingga anak mereka dapat mengembangkan potensi diri untuk menjadi manusia yang beriman, berakhlak mulia, berguna kepada agama dan masyarakat

Oleh itu Kehadiran media massa sama ada dalam bentuk teknologi lama atau baru adalah suatu perkara yang akan terus berkembang dan menembusi kehidupan setiap individu. Sungguhpun ibu bapa adalah pihak utama yang bertanggung jawab dalam mencorakkan kehidupan anak-anak, sokongan daripada pihak lain seperti pengasuh, sekolah, pihak kerajaan sebagai pembuat dasar, dan penerbit kandungan media amat diperlukan bagi menjaga kebajikan dan menyediakan persekitaran yang lebih sihat bagi mereka. Ini adalah untuk memastikan kanak-kanak mendapat manfaat sepenuhnya daripada media yang ada di sekeliling mereka. Perspektif ekologi yang diutarakan memberikan panduan kepada kita untuk melihat hubungan media dan perkembangan kanak-kanak dari pelbagai sudut dan jaringan sistem yang saling berkait dan bertimbal balik antara satu sama lain. Dengan demikian, semua pihak seharusnya tidak memandang ringan akan sumbangan dan peranan masing-masing dalam konteks perkembangan kanak-kanak yang akan menjadi generasi pelapis pembina masa depan negara.