Oleh:
Nurakiraazwani Binti Muhammad
Majlis
Sesi Perjumpaan Dan Penyampaian Amanat Tahun 2016 bersama YB Dato’ Norhayati
Binti Omar, Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Kebajikan, Pembangunan Wanita Dan
Keluarga telah diadakan di LPPKN, Seremban, Negeri Sembilan. Turut dihadiri
oleh Pegawai Kebajikan Masyarakat Negeri Sembilan, Jabatan Pembangunan Wanita
dan sebagainya. Majlis ini lebih tertumpu kepada wanita dan juga membangkitkan
tentang isu-isu kenapa berlakunya peningkatan ibubapa yang dihantar ke
kebajikan. Dengan itu, kita perlulah sedar untuk sentiasa mengingatkan anak-anak
sekarang daripada terleka dalam melaksanakan tanggungjawab mereka kepada ibu
mereka. Isu ini bukan lagi satu isu yang lapuk kerana semakin hari semakin bertambah
keratan akhbar yang memaparkan kisah-kisah sedih dimana orang tua ditinggalkan
di jalanan, ditipu dan dibuang oleh anak sendiri. Dimana tanggungjawab sebagai
anak disaat ibu kita perlukan. Kita sewajarnya membangkitkan semula isu ini
agar mereka sedar kasih sayang dan menghargai pengorbanan ibu mereka. Wahai
anak-anak sekalian, pejam mata renung kembali pengorbanan dan penat lelah ibu
yang mengandungkan dan melahirkan kita insan yang sentiasa menjaga, merawat dan
menemani kita dalam setiap suka duka kita sehingga siapa kita hari ini.
Ibu
adalah peluang syurga buat anak. Dari rahim ibu bermula kehidupan kita sebagai seorang
anak. Menitis peluh keringat, darah dan susuan lambang pengorbanan seorang ibu
dalam melahirkan dan membesarkan kita. Kasih sayang ibu adalah harta yang
sangat bernilai harganya. Kasih sayang seorang ibu itu tidak boleh di tukar
ganti mahupun dibandingkan dengan mana-mana nilai kasih sayang yang ada dalam
dunia ini kerana kasih sayang seorang insan yang bergelar ibu itu sungguh suci
dan tulus dalam menzahirkannya. Benda pertama yang keluar daripada mulut
seorang anak adalah “ma”. Ini menunjukkan batapa Allah s.w.t meninggikan darjat
seorang ibu. Mencintai ibu adalah satu wahyu. Redhanya ibu adalah redha Allah
s.w.t. Ingatlah kunci syurga itu terletak di telapak kaki ibu.
Dalam
menjalani kehidupan harian, kita sangat memerlukan ibu di sisi kita. Tanpa
bantuan dan perhatian daripada seorang ibu, kita pasti berasa kosong dan tiada
hala tuju. Ini membuktikan bahawa berharganya nilai seorang ibu di sisi
anak-anak. Ibu adalah insan yang sangat prihatin dan peka dalam menjaga segala
hal ehwal anaknya. Ini kerana dalam diri seorang ibu itu dianugerahkan sifat
belas kasihan, bertolak ansur dan sangat penyayang. Seorang ibu tidak pernah
mengharapkan apa-apa balasan ataupun bayaran daripada anak-anaknya untuk
membalas balik segala pengorbanan yang telah dilakukannya demi insan bernama
anak walaupun ditaburi dengan emas dan berlian sekali pun tidak mampu melunaskan
hutang nyawa kepada ibu. Malah, seorang anak tidak mampu untuk membalas balik
segala hutang nyawa dan pengorbanan yang ibu lakukan iaitu membawa kandungan
selama sembilan bulan sehingga lahirnya seorang anak untuk menatap dunia baru
ini. Ianya adalah satu pengorbanan besar dan terhormat daripada seorang insan
yang bergelar ibu.
Seterusnya,
ibu adalah insan yang luar biasa. Ibu mampu melakukan semua tugas seorang diri.
Jika kita renungkan, tugasan seorang ibu di dalam rumah itu tidak terhitung banyaknya.
Contohnya, memasak untuk keluarga, mengemas rumah, menjaga anak-anak,
mempersiapkan anak-anak ke sekolah dan lain-lain lagi. Tanpa kesetiaan seorang
ibu di sisi anak, seorang anak itu tidak akan mampu untuk berdikari kerana dari
kita kecil sehingga kita besar, kita diberikan didikan dan asuhan daripada
tangan insan yang bergelar ibu yang tidak pernah jemu dalam memberi didikan
yang terbaik untuk setiap anak-anaknya supaya menjadi insan yang berguna.
Besarnya peranan seorang ibu dan betapa pentingnya ibu dalam kehidupan kita. Selain
itu, ibu juga merupakan insan yang mulia dan sentiasa cuba memberikan yang terbaik
untuk setiap anaknya agar dapat memiliki masa depan yang sempurna. Hati seorang
ibu itu sangat suci kerana dia sanggup berkorban apa sahaja untuk anaknya dan
akan sentiasa mengutamakan kebahagiaan dan kemahuan anaknya terlebih dahulu
daripada kebahagiaannya. Bagi setiap ibu, anak-anak adalah jantung hati mereka.
Kebahagiaan anak-anak adalah kebahagiaannya.
Selain
itu, ibu juga merupakan insan yang paling setia dan memahami. Ibu adalah
sahabat yang setia dan seorang pendengar yang baik. Apabila seseorang anak itu
mempunyai masalah, naluri keibuan boleh merasa akan masalah yang dihadapi oleh
anaknya. Kuatnya ikatan antara ibu dan anak. Ibu juga merupakan insan pertama
yang akan dicari apabila anak-anak bangun daripada tidur. Disamping itu juga,
rutin harian seorang ibu yang sentiasa berada disisi anak-anak membuatkan
anak-anak tidak boleh jika ibu mereka hilang daripada pandangan mereka.
Contohnya, apabila pulang sahaja dari pada sekolah pasti raut wajah ibu yang
dicari. Anak-anak akan berkongsi segala kisah yang berlaku, apa yang mereka
lalui dan sagalanya diceritakan kepada ibu mereka. Sikap penyayang ibu akan
terserlah apabila sambil mendengar cerita, dia akan mengusap rambut anaknya
dengan penuh kelembutan dan bibirnya tidak lekang dengan senyuman manis untuk mendamaikan
hati anaknya. Sesungguhnya, pelukan ibu itu adalah tempat yang paling
mendamaikan, tatapan mata ibu adalah satu sinar kekuatan dan usapan tangan ibu
itu adalah satu ungkapan kasih sayang yang berharga.
Ibu
adalah idola kepada anak-anak. Jika ditanya kepada setiap anak-anak di atas
dunia ini pasti mereka memilih ibu mereka sebagai idola dan sumber inspirasi
dalam hidup mereka. Ibu adalah insan yang paling akrab dalam hidup mereka.
Setiap tingkah laku dan sikap yang dipamerkan oleh ibu pasti akan menjadi
ikutan setiap anaknya. Inilah yang dikatakan, ibu merupakan guru kepada
anak-anak di rumah. Contohnya, apabila seorang anak gadis yang akan berkahwin
pasti menjadikan ibu mereka sebagai sumber inspirasi untuk menjadi isteri yang
solehah kepada suaminya dan ibu yang terbaik buat anaknya. Dengan ini, jelaslah
bahawa seorang ibu sangat hebat. Tiada hidup yang lebih mewah selain daripada
mewahnya hidup dalam kasih sayang seorang ibu. Tiada yang lebih membahagiakan
selain daripada kebahagiaan yang dicurahkan oleh insan yang bergelar ibu.
Sungguh indahnya memiliki insan yang bergelar ibu kerana tidak terhitung
bersyukurnya dengan limpahan kasih sayang daripadanya yang tidak pernah berubah
dan setia hingga ke syurga.
Pengorbanan
ibu sangat besar kerana seorang ibu sanggup untuk menempuhi segala kepahitan
dan kesusahan hidupnya seorang diri asalkan anak-anaknya terus mengukir
senyuman kebahagiaan kerana bagi seorang ibu tiada yang lebih bermakna selain
daripada dapat menatap wajah riang anaknya, Senyuman anak-anak adalah pengubat
segala kesakitan yang dihadapinya.
Betapa tulusnya hati seorang ibu. Tiada yang dapat menggantikan tempat seorang
ibu yang begitu tulus dalam menzahirkan kasih sayang dan pengorbanannya.
Tahukah anak-anak, seorang ibu itu sangat bijak dalam menyimpan rahsia hati dan
masalahnya daripada pengetahuan anak-anak kerana dia tidak mahu membebankan dan
menyusahkan hidup anak-anaknya. Seorang ibu itu mempunyai kekuatan yang luar
biasa. Ibu boleh menyimpan pelbagai rasa ibarat warna yang boleh mewarnai keceriaan,
menutup segala kesedihan dan mempamerkan raut wajah kebahagiaan. Betapa
hebatnya Allah s.w.t menganugerahkan setiap ibu-ibu dengan kekuatan yang sangat
luar biasa. Kekuatan yang dimiliki oleh ibu membuatkan dia mampu mengharungi
segala cabaran hidup.
Sedarkah
anak-anak akan pengorbanan ibu mereka. Seorang ibu itu sanggup mempertaruhkan
nyawa, masa dan tenaga semata-mata ingin melihat cahaya mata yang dilahirkan
mampu mewarnai dunia ini dan membawa sinar kebahagiaan dalam keluarga. Wahai
anak-anak, masihkah engkau ingat ibumu sanggup memaki seekor nyamuk yang
menghisap darahmu. Masihkah engkau
ingat, ibumu sanggup bersengkam mata menjagamu ketika sakit. Adakah diri kita
sengaja membutakan mata dan memekakkan telinga kerana bangga dengan kejayaan
yang kita miliki hari ini? disebabkan alpa dan leka dengan duniawi, kita lupa
bahawa kerana jasa dan pengorbanan seorang ibu yang membuatkan kita mampu berdiri
dengan megah. Tepuk dada tanyalah hati kita dan ingatlah kembali asal usul kita
sebagai seorang anak. Benarlah kata pepatah “seorang ibu mampu menjaga sepuluh
orang anak, tetapi sepuluh orang anak belum tentu dapat menjaga seorang ibu”.
Renungan buat insan yang bergelar anak yang akan meningkat usia.
Tetapi
pada hari ini, dapat kita lihat betapa banyaknya isu ibu dibuang anak. Paling
menyedihkan apabila tergamaknya seorang anak membuang ibu mereka yang telah
banyak berjasa dan berkorban untuknya. Mereka sanggup membuang si tua iaitu ibu
mereka sendiri macam sampah di pinggiran jalan, ke rumah orang tua dan di
sekitar terminal bas. Tiada nilai ke seorang ibu di mata mereka. Sangat
memilukan hati apabila terdapat anak-anak yang sanggup menyingkirkan ibu mereka
dalam kehidupan mereka kerana tidak mahu terbeban untuk menjaga dan melayan
kerenah si tua. Tidak sedarkah mereka, ketika kecil dulu tangan tua itu yang
menjaga, menyuap makan dan membelai kita dengan penuh kasih sayang. Adakah kita
dengar rungutan penat keluar daripada bibir ibu kita. Seorang ibu tidak pernah
mempamerkan setiap rasa penat, sedih dan kecewanya kepada anak-anak. Ini kerana
betapa sucinya hati seorang ibu itu demi melihat anak-anaknya sentiasa
tersenyum bahagia sudah cukup menghilangkan segala rasa penat dan sedihnya.
Bagi seorang ibu, anak adalah ubat segala penyakitnya. Sayangnya, nilai seorang
ibu itu semakin rendah di mata anak-anak. Mungkin mereka belum sedar akan
besarnya nilai seorang ibu dalam hidup. Apabila kehilangan baru mereka
merasainya, tetapi sayangnya saat itu semuanya sudah tidak berguna lagi. Itu la
sikap manusia yang sering terlambat sedar daripada kesilapan dan dosa yang
mereka lakukan. Dalam dunia ini hanya
satu sahaja “ibu” yang dianugerahkan oleh Allah s.w.t kepada setiap insan
bergelar anak. Walaupun kekayaan engkau bergunung, emas kita berkilo sekali
pun, kita tidak akan mampu untuk membeli nilai insan yang bergelar “Ibu”.
Dapatkah harta yang kita miliki, harta yang kita kerjakan selama hidup kita
sampai sanggup ketepikan ibu kita kerana terlalu taksub harta dunia ini akan
mampu membantu kita untuk membeli nilai nyawa ibu kita kembali. Jangan engkau
dibutakan hati dengan kemewahan duniawi yang sementara ini sedangkan ibumu
adalah syurgamu di akhirat kelak.
Terdapat
juga sesetengah anak-anak yang sanggup melapaskan tanggungjawab ke atas ibu
mereka setelah miliki kehidupan sendiri. Mereka sanggup membiarkan ibu mereka
keseorangan di rumah. Contohnya pada hari ini dapat kita tengok banyak berlaku
kes pencerobohan rumah, mencuri, pukau, meragut dan membunuh. Pada masa kini,
kebanyakkan anak-anak sudah tidak tahu menjaga adab dan bercakap kasar dengan
ibu mereka. Contohnya, bagaimana mereka berkomunikasi bersama ibu mereka adalah
sama seperti mereka berkomunikasi dengan rakan sebaya mereka. Perkataan yang
terpancul daripada mulut mereka seolah-olah mereka memandang rendah darjat ibu
mereka. Ini salah satu pengajaran yang perlu kita sedar agar kita tidak menyesal
di kemudian hari.
Natijahnya,
kita sebagai seorang anak hendaklah menghargai jasa dan pengorbanan ibu kita.
Ibu adalah harta dunia dan akhirat kita. Seorang anak perlu mencari dan
mendapatkan restu serta keredhaan seorang ibu dalam memperolehi kehidupan yang
sempurna. Oleh itu, anak yang baik adalah anak yang selalu menghormati ibu
mereka dalam setiap perkataan, perbuatan dan percakapan yang sopan kerana
“syurga itu terlatak di bawah telapak kaki ibu”. Ibu adalah harta dan peluang
untuk kita ke syurga.