Oleh:Muhammad Faiz Mazlan
Seremban, 18 Februari 2016- Proses transformasi reruang habitat manusia yang berlaku di bandar dalam tempoh hampir 200 tahun. Bermula dari sebuah kawasan yang dipenuhi dengan hutan rimba. Kini, menjadi kawasan yang berkembang pesat pada hari ini.
Bandar Seremban moden telah dibangunkan oleh Kolonial Inggeris yang telah bertapak di Negara ini sejak sekitar tahun 1870 – an dan dipercayai bermula apabila kawasan di sekitar Rasah didapati kaya dengan hasil bumi iaitu bijih timah.
Pembangunan kawasan perlombongan bijih timah telah diberikan perhatian utama sementara kawasan di sekitarnya dibangunkan sebagai estet pertanian terutamanya getah. Ramai pekerja imigran dari China dan India dibawa masuk ke Bandar ini. Mereka menduduki Seremban dan kawasan sekelilingnya sebagai penoreh getah dan pekerja lombong bijih timah. Menyedari akan kepentingan Seremban kepada penjajahan Inggeris, mereka telah menghubungkan Seremban dengan Kuala Lumpur melalui jalan kereta api untuk mengangkut hasil getah dan bijih timah di samping menjadi sistem pengangkutan untuk mengangkut pekerja Inggeris dan Imigran Cina dan India.
Pada tahun 1924, sebuah stesyen kereta api dibina di Bandar Seremban yang masih kekal hingga masa kini dan menjadi mercu tanda serta menjadi kesan sejarah didalam daerah Seremban. Seiring dengan pembangunan fizikal yang melanda Seremban, kawasan perumahan turut mengalami perkembangan pesat terutamanya dalam tempoh dasawarsa terakhir ini.
Transformasi reruang habitat manusia di Bandar Seremban berlaku dari pelbagai aspek biofizikal, ekonomi, dan budayanya dalam bentuk transformasi yang kompleks untuk difahami dan dirungkaikan. Transformasi yang kompleks ini menuntut satu bentuk pemahaman yang juga kompleks agar satu sistem pengurusan yang berbeza dengan penelitian yang mendalam dapat dibentuk dan diurus tadbir dengan baik supaya perjalanan menjadi sebuah Negara yang berdahayuni dapat berjalan dengan lancar. Oleh itu, pendekatan kompleksiti yang melihat dari bawah akan membantu pemahaman yang lebih mendalam dan berkesan untuk menguruskan bandar yang berdahayuni.