Sunday, 15 May 2016

TABUNG HAJI RANCANG BANGUNKAN TRX DENGAN NILAI RM 820 JUTA

OLEH: MOHAMAD AIZAT BIN ASMAN

Projek pembangunan 1MDB seperti Tun Razak Exchange (TRX) dan projek kembarnya Bandar Malaysia, bukan sekadar projek-projek hartanah biasa. Pembangunan hartanah strategik menjadi alat bagi mewujudkan kesan pengganda tinggi dan memacu ekonomi yang bertenaga. Projek-projek terbabit umpama “blok binaan” yang dapat membantu membentuk Kuala Lumpur sebagai sebuah destinasi bandaraya global yang cukup teguh bagi pelabur dan pelancong.

TUN RAZAK EXCHANGE (TRX) bakal menjadi hab kewangan dan ekonomi antarabangsa, dan turut mempromosikan Malaysia sebagai pusat pembangunan ekonomi global baharu. Projek pembangunan seluas 70 ekar di tengah-tengah bandaraya KL ini berhasrat menghimpunkan pemain sektor ekonomi dan kewangan, di mana Tun Razak Exchange akan menjadi pemboleh untuk langkah pembangunan seterusnya – sebagai destinasi ikonik dan contoh kerjasama yang lebih mudah.

Pembangunan TRX bakal membentuk mercu baru bagi kawasan Segi Tiga Emas yang buat masa ini merangkumi KLCC di bahagian utara dan KL Sentral di kawasan barat. TRX menyasarkan untuk mewujudkan kumpulan kritikal bagi memacu pertumbuhan ekonomi Malaysia ke arah ekonomi berpendapatan tinggi. Berikutan itu, ia dilihat sebagai pemboleh yang amat penting bagi Program Transformasi Ekonomi (ETP).

Kawasan ini juga akan mengambil kesempatan ke atas kedudukan Malaysia sebagai pendahulu dalam bidang kewangan Islam global bagi mengukuhkan kedudukannya dalam dunia kewangan antarabangsa. TRX akan menarik dan menghubungkan perniagaan-perniagaan serta bakat-bakat melalui pembangunan strategik baru dan perkhidmatan global terbaik.

Syarikat-syarikat multinasional juga akan digalakkan supaya menjadikan Greater KL sebagai lokasi ibu pejabat global atau serantau, di mana TRX akan menawarkan insentif terbaik selain mewujudkan peluang perniagaan terbaik bagi menarik syarikat-syarikat multinasional ini.


Gambar 1: rancangkan pembangunan Tun Razak Exchange

Lembaga Tabung Haji (Tabung Haji) merancang membangunkan pangsapuri kediaman di tanahnya yang terletak di Tun Razak Exchange (TRX) dengan nilai pembangunan kasar RM820 juta.
Pengerusinya, Datuk Seri Abdul Azeez Rahim berkata, keputusan itu merupakan hasil daripada perbahasan yang diadakan di Parlimen baru-baru ini, yang mana kebanyakannya percaya tanah itu tidak perlu dijual. Timbalan Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji, Datuk Johan Abdullah berkata lembaga pengarah belum memutuskan jenis pangsapuri khusus yang akan dibangunkan di tanah itu dan ketika ini ia sedang mendapatkan kelulusan daripada badan kawal selia tempatan.

"Kami perlu melihat kepada pasaran terlebih dahulu kerana ini bukan jenis pembangunan biasa, ia perlu projek mewah.

"Buat masa sekarang, kami mempunyai pembangunan hartanah di Bandar Enstek. Dan saya rasa (bagi projek ini) kami perlu meningkatkan sedikit dari segi pembabitan kami. Oleh kerana peruntukan aset kami bagi bahagian hartanah masih berkembang, saya rasa ini merupakan satu pelaburan jangka panjang yang baik," katanya.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif, Tan Sri Ismee Ismail berkata kumpulan tersebut akan mengekalkan strategi peruntukan asetnya dengan menumpukan kepada pelaburan domestik serta meningkatkan pendedahannya dalam sektor hartanah. TRX yang akan dibangunkan tidak lama lagi di bahagian Selatan Jalan Tun Razak di Kuala Lumpur, dijangka akan dapat mewujudkan kesan limpahan positif kepada kawasan sekitar Bukit Bintang, Pudu dan Kampung Pandan, kata penganalisis yang biasa dengan projek pembaharuan Bandar.

Dahulunya dikenali sebagai Daerah Kewangan Antarabangsa Kuala Lumpur, TRX akan menjadi pemboloh kritikal dan pemangkin penting untuk wawasan 2020 kerajaan dan inisiatif Program Transformasi Ekonomi serta bersedia untuk menarik lebih daripada RM3.5 billion  dalam pelaburan langsung asing.  Pembinaannya dilancarkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak baru-baru ini.

Penganalisis kanan RHB Research Institute, Loong Kok Wen berkata nilai hartanah dikawasan sekitar TRX akan secara beransur-ansur meningkat berikutan kemudahan pengangkutan dan infrastruktur baharu.

Beliau berkata kadar kenaikkan boleh kira-kira lima peratus setahun dan akan terdapat belian spekulatif hartanah berhampuran kawasan itu juga. Pembangunan kawasan seluas 28.3 hektar di Jalan Tun Razak juga dijangka membawa RM26 billion pada hasil pembangunan kasar. Loong berkata pembangunan itu bukan sahaja memberikan kesan ke atas hartanah komersial tetapi juga hartanah kediaman. Beliau berkata pemaju akan cenderung untuk membina projek-projek mereka di persekitaan kawasan seperti Kampung Pandan, Pudu dan Bukit Bintang memandangkan kawasan-kawasan ini bersedia untuk mendapat sambutan yang baik.

‘Hartanah baru di sekitar TRX berkemungkinan menikmati jualan yang baik memandangkan pembeli yakin permintaan masa hadapan bagi hartanah mereka apabila hab kewangan siap’ katanya.
Pengarah Urusan Kumpulan AMMB Holdings Bhd Ashok Ramamurthy berkata projek itu akan mempunyai kesan limpahan terhadap pelaburan hartanah di mana ramai orang akan berharap untuk mempunyai pejabat atau rumah mereka, terutama berdekatan dengan TRX. ‘Pemaju hartanah akan mengambil kesempatan ini untak merancang projek-projek mereka dalam kawasan ini untuk menarik pembeli tempatan dan asing.’ Katanya. Timbalan Setiausaha Agung Persekutuan Persatuan-Persatuan Cina Malaysia (Hua Zong) Prof Dr Chin Yew Sin berpendapat hartanah di kawasan sekitar TRX pastinya akan menikmati permintaan dan harga sewa bagi kediaman dan komersial juga akan turut meningkat.  Dr Chin berkata kesan limpahan juha akan member manfaat kepada penjaja, restoran dan hotel di kawasan tersebut.   

Pembinaan Veolia Water di Kawasan TRX

Veolia Water Technologies Southeast Asia memperoleh kontrak untuk rawatan sisa air dari daerah kewangan baharu, Tun Razak Exchange (TRX) untuk tempoh konsesi 20 tahun.
Pengarah Urusan, Mohammed Akhir Ahmad, berkata menerusi janji niaga itu, syarikat akan membina dan mengendalikan operasi loji rawatan sisa air di TRX untuk menghasilkan air kitar semula yang akan menjadi komponen utama kesinambungan rangka kerja pembangunan daerah kewangan ikonik negara itu.

Pembinaan loji rawatan sisa air itu yang bakal dimulakan tahun depan, dijangka siap dalam tempoh dua tahun dan berupaya mengurangkan permintaan air di TRX sebanyak 50 peratus."Infrastruktur di TRX direka untuk memenuhi standard global serta mapan dan fokus utama ialah penggunaan semua air," katanya dalam taklimat media di sini hari ini.

Veolia Group adalah peneraju global dalam mengoptimumkan pengurusan sumber dengan mereka bentuk dan menyediakan penyelesaian air, pengurusan sisa dan tenaga yang menyumbang kepada pembangunan mapan komuniti dan industri.

Kumpulan itu sudah menghasilkan penyelesaian air untuk air dari Sungai Thames di United Kingdom (UK), Pelabuhan Darling di Sydney dan daerah Shanghai Pudong manakala di Malaysia ia mempunyai kerjasama dengan Syarikat Air Negeri Sembilan Sdn Bhd (SAINS) untuk operasi loji rawatan air di negeri itu, selain pernah menjalankan operasi rawatan loji air Puncak Niaga (M) Sdn Bhd di Selangor.  Loji rawatan sisa air di TRX akan membekalkan air kitar semula yang selamat, bersih dan tidak berbau bagi kegunaan di sekitar daerah perniagaan itu untuk kegunaan penyejukan, pengairan dan kegunaan di tandas.  Ia juga akan mewujudkan sistem kitaran penuh untuk menyediakan air kitar semula yang mencukupi bagi semua kegunaan selain untuk minum.

"Veolia menyasar untuk mendapatkan semula sekurang-kurangnya 80 peratus air sisa atau kumbahan yang dihasilkan setiap tahun untuk digunakan semula dalam kawasan TRX, sekali gus mengurangkan permintaan air bersih sebanyak 50 peratus di kawasan tersebut," katanya.