OLEH: NURUL
NISA BINTI ABDUL
Pada
hari ini pencemaran alam sekitar berlaku di mana-mana dan ia merupakan satu
perkara yang besar bukan sahaja di negara kita, malah turut juga dihadapi oleh
negara-negara membangun yang lain. Mengapakah keadaan sedemikian berlaku? Pencemaran
yang berlaku secara berleluasa di negara kita adalah disebabkan oleh pelbagai
unsur. Mengikut hasil kajian yang dibuat oleh Jabatan Alam Sekitar, sebanyak
91% kejadian pencemaran terutamanya pencemaran sungai yang berlaku di negara
kita adalah disebabkan oleh najis, sama ada najis haiwan mahupun najis manusia.
Antara unsur lain berlakunya pencemaran termasuklah disebabkan oleh bahan
kumbahan dan baja yang digunakan untuk tujuan pertanian terutamanya yang
mengandungi galian seperti nitrat dan fosfat. Pencemaran juga berlaku adalah
disebabkan oleh penghasilan kelodak dan bahan-bahan lain berbentuk pepejal
seperti tanah, bahan buangan daripada kawasan pembinaan serta kawasan
perbandaran dan juga disebabkan oleh hakisan tebing sungai apabila berlakunya
hujan lebat.
Di
samping itu, bahan buangan daripada kilang-kilang, pembasmian hutan dan
pembangunan industri juga menjadi punca berlakunya pencemaran terhadap alam
sekitar kita. Mungkin ada antara kita yang sedia maklum bahawa kebanyakan bahan
pencemar selalunya cepat tersebar dan boleh meliputi kawasan yang luas dalam
jangka masa yang singkat sahaja. Pencemaran seperti ini boleh juga disifatkan
sebagai pencemaran jangka pendek. Manakala, bagi pencemaran jangka panjang pula,
ia memerlukan perhatian yang khusus walaupun ianya masih lagi pada tahap yang
rendah di negara kita, kerana ia boleh memberi kesan yang besar kepada seluruh
ekosistem melalui rantaian hidupan. Pencemaran tanah dan air bawah tanah
misalnya tidak boleh tersebar dalam jangka masa yang cepat. Namun demikian ia
boleh memberi kesan yang besar kepada hidupan terutamanya jenis haiwan yang
menghuni sesuatu ekosistem. Sebagai contoh, aliran kehidupan biasa dalam kitar
pembiakan haiwan seperti spesies katak sudah tergangu, puncanya adalah merujuk
kepada pencemaran dan keracunan yang berlaku disebabkan oleh pencemaran jangka
panjang, dan sebahagian saintis khuatir sekiranya keadaan tersebut berterusan,
ia akhirnya akan turut memberi kesan kepada manusia.
Sebagai
individu, apakah yang patut kita lakukan untuk mengatasi malasah pencemaran alam
sekitar kita pada hari ini? Sebenarnya kuasa untuk menyelamatkan alam sekitar
kita adalah terletak di tangan kita sendiri. Bila-bila masa sahaja kita boleh
katakan ‘tidak' kepada pembasmian hutan dan juga persekitaran yang kotor.
Sebagai contoh, kita mempunyai kuasa untuk mendesak para pemaju dan penjaja
supaya mereka lebih ‘mesra alam' dalam menjalankan kerja mereka. Kita sebagai
individu juga mempunyai pilihan untuk tidak membeli rumah dalam kawasan ladang
yang mana pemaju telah menebang semua pokok untuk tujuan pembukaan kawasan
perumahan. Kita sepatutnya bertanya pada diri kita sendiri, mengapa perlu kita
tinggal di kawasan persekitaran yang tidak selamat dan selesa? Hanya kita
sendiri sahaja yang berhak untuk katakan ‘tidak' ataupun ‘ya' dalam memastikan
kita hidup dalam suasana persekitaran yang bersih dan selesa. Kegagalan untuk
menjaga kebersihan alam sekitar juga boleh memberi kesan yang besar kepada
sektor pelancongan di negara kita, misalnya ia akan membantutkan
kegiatan-kegiatan pelancongan sama ada yang sedia ada ataupun yang bakal
diterokai. Sebagai contoh, pada penghujung tahun lepas, pelabur telah menolak
rancangan untuk membina hotel di Pantai Pasir Gemuruh berhampiran Teluk Kumbar,
Pulau Pinang kerana kawasan tersebut telah diancam pencemaran. Kawasan tersebut
yang dahulunya bersih dan cantik, kini telah dipenuhi dengan sampah sarap.
Selain
itu, 50% sungai di negara kita juga telah tercemar , dan 5% daripadanya berada
pada tahap yang sangat tenat. Jika diamati, kini tiada lagi kawasan air terjun
di Pulau Pinang, Sungai Klang pula tercemar teruk dan kawasan perlombongan di
Batu Pahat, Johor juga dipenuhi dengan sampah sarap. Bagi memastikan
persekitaran kita selamat untuk didiami, orang awam perlu mengambil berat dan
memberi perhatian terhadap kebersihan di dalam dan juga di luar rumah mereka
terlebih dahulu. Ini kerana menjaga kebersihan alam sekitar perlu berakar umbi
dari rumah. Setiap anggota masyarakat perlu mempunyai kesedaran yang tinggi
dalam menjaga kebersihan, misalnya tidak sesuka hati membuang sampah ke dalam
longkang dan sistem perparitan, kerana ia akan menyebabkan sistem saliran
tersumbat dan akhirnya akan membawa kepada masalah-masalah lain seperti berlakunya
banjir dan sebagainya.
Misalnya
kejadian banjir besar yang berlaku di Johor pada tahun lepas telah menyebabkan
kerajaan terpaksa mengeluarkan kos yang besar, iaitu sebanyak RM1 bilion hanya
untuk memperbaiki kemudahan-kemudahan asas yang rosak akibat banjir tersebut.
Ia jelas merugikan apabila kita terpaksa memperuntukkan sejumlah wang yang
besar hanya untuk membaik pulih kerosakan akibat daripada banjir tersebut.
Adalah lebih baik sekiranya kita dapat menggunakan wang tersebut untuk tujuan
lain yang lebih bermanfaat seperti untuk tujuan pembinaan sekolah dan juga
hospital. Bukan itu sahaja, malah kita juga memerlukan penguatkuasaan yang
bersepadu dalam membanteras pembalakan haram. Ini kerana, pembalakan haram
merupakan salah satu daripada kegiatan yang turut memusnah dan mencemar alam
sekitar kita termasuk sungai dan juga laut. Daripada kerja pembalakan haram
tersebut juga, ia akan turut membawa kepada musnahnya kebanyakkan habitat
semulajadi ikan air tawar yang sedia ada.
Selain
memusnahkan habitat semulajadi ikan air tawar, aktiviti pembalakan haram juga
akan turut memusnahkan kebanyakan habitat hutan yang seterusnya akan membawa
kepada masalah-masalah lain seperti hakisan tanah, banjir, pemanasan sejagat
dan sebagainya. Kita sepatutnya sedar bahawa habitat hutan sangat penting bukan
sahaja kepada kita, malah juga kepada alam sekitar kita. Seperti yang kita
sedia maklum, kewujudan tumbuh-tumbuhan adalah sangat penting terhadap alam
sekitar yang mana ia sangat diperlukan bagi membolehkan penggunaan karbon
dioksida oleh tumbuh-tumbuhan dan pengembalian oksigen untuk tujuan pernafasan.
Kewajipan menjaga kebersihan alam sekitar adalah terletak sepenuhnya di tangan
kita. Sudah tiba masanya setiap anggota masyarakat membuang sikap ‘tak apa'
dalam diri masing-masing untuk melindungi dunia daripada melakukan pemusnahan
terhadap alam sekitar secara berterusan. Ia merupakan tugas dan kewajipan
akhlak kita di muka bumi ini untuk menjaga dan memelihara alam sekitar kita
sebagaimana ia telah memberi pelbagai manfaat kepada kita berabad lamanya.
Selain
itu, kita juga memerlukan proses pembaikan dalam senario pemuliharaan di negara
kita. Langkah yang berkesan perlu diambil dalam memastikan mesej yang jelas
mengenai unsure-unsur pemuliharaan alam sekitar yang betul dapat disampaikan
kepada setiap anggota masyarakat bagi menjamin kebersihan alam sekitar kita
terus terpelihara. Setiap anggota masyarakat perlu sedar bahawa usaha
pemuliharaan patut menjadi teras dalam diri masing-masing, kerana kesedaran
dalam diri setiap individu adalah sangat penting. Jika semua anggota masyarakat
bertanggungjawab dalam memainkan peranan masing-masing dan bekerjasama untuk
menyelamatkan alam sekitar, pastinya alam sekitar kita akan dapat diselamatkan
dan dipelihara sepenuhnya.