Oleh:Nur Aqilah Bt
Mat Hussin
Apabila transformasi pendidikan vokasional dilaksanakan mulai tahun
2013 maka aliran ini tidak lagi dianggap sebagai pendidikan kelas dua. Ketika
ini umum beranggapan ia sebagai tempat pelajar yang tidak berminat belajar
dalam aliran akademik. Pelajar aliran ini juga dikira kurang berpeluang untuk
ke menara gading jika dibandingkan dengan sebahagian rakan-rakan mereka
daripada aliran akademik yang akan memasuki kelas matrikulasi atau tingkatan
enam selepas menamatkan peperiksaan SPM.
Pengumuman sistem baru pendidikan vokasional oleh Timbalan Perdana
Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin baru-baru ini telah melonjakkan kedudukan
aliran tersebut dalam sistem pendidikan negara. Transformasi ini telah
menjanjikan kelulusan hingga ke peringkat diploma secara jalan pintas melalui
pewujudan Kolej Vokasional (KV) selepas tingkatan tiga.
Apa yang menarik pelajar mula didedahkan asas mata pelajaran
vokasional dan boleh memilih jurusan kemahiran seawal usia 13 tahun iaitu
semasa berada di tingkatan satu. Sesungguhnya peluasan aliran vokasional dalam
sistem pendidikan telah diamalkan di kebanyakan negara dan bilangan pelajarnya
sangat ramai kerana ia dianggap selari dengan kemajuan teknologi dan tuntutan
ekonomi sesebuah negara.
Transformasi pendidikan vokasional yang bermula pada tahun 2013
nanti memberi penekanan kepada amalan industri atau amali teknikal dan akan
mengurangkan komposisi akademik. Apa yang menariknya Pendidikan Asas Vokasional
(PAV) akan diperkenalkan kepada pelajar mulai tingkatan satu.
Mereka juga dibenarkan mengambil peperiksaan Sijil Kemahiran
Malaysia (SKM) pada tahap satu iaitu semasa berada di tingkatan dua dan SKM
tahap dua semasa berada di tingkatan tiga. Sementara itu pelajar yang mengikuti
aliran vokasional ini selepas tingkatan tiga akan diberi peluang mengikuti
pendidikan selama empat tahun sehingga peringkat diploma iaitu SKM tahap empat.
Sekolah vokasional atau kolej vokasional merujuk kepada
sekolah-sekolah yang menawarkan latihan kemahiran berbanding pendidikan
akademik. Di Malaysia, pendidikan jenis ini lebih ditumpukan kepada pelajar
berpencapaian rendah. Walau bagaimanapun, dasar baru kerajaan telah mengangkat
pendidikan vokasional ke tahap yang lebih tinggi dan tidak lagi dianggap
sebagai pendidikan kelas kedua.
Pusat-pusat latihan vokasional di Malaysia ditawarkan untuk dua
peringkat; peringkat rendah dan peringkat tinggi. Pusat pendidikan vokasional
peringkat rendah dipanggil sekolah menengah vokasional atau sekolah menengah
teknik. Ia merupakan pusat pengajian menengah tinggi yang disertai pelajar bagi
merancang perjalanan kerjaya mereka dengan lebih awal.
Transformasi pendidikan vokasional ini sudah tentu akan menarik
minat lebih ramai pelajar cemerlang memasuki aliran ini. Sekiranya pendidikan
ini dapat menjanjikan peluang pekerjaan yang baik dan pendapatan yang tinggi
kepada pelajar maka sudah tentu ibu bapa turut menggalakkan anak-anak mereka
mengambil peluang untuk mengikuti aliran ini.
Diharapkan dengan memartabatkan pendidikan vokasional ini akan
mempercepatkan lagi usaha untuk menyediakan tenaga kerja yang berkebolehan,
berkemahiran dan berpendapatan tinggi bagi menjadikan Malaysia negara maju
dalam tahun 2020.