OLEH : MASNAH BINTI JAYA.
Persatuan
Silat Cekak Ustaz Hanafi telah mengiktiraf YM Syeikh Dr. Haji Md Radzi bin Haji
Hanafi menjadi Guru Utama dan menjadikan persatuan ini sebagai jentera utama
pergerakan Silat Cekak pada 05 Ogos 1994. Persatuan ini juga telah menubuhkan
satu persatuan bagi golongan wanita yang dikenali sebagai Persatuan Srikandi
Professional Malaysia (SriKandi Pro). Pada 16 April 2016 bertempat di rumah
persatuan yang terletak di Taman Melawati Kuala Lumpur, majlis ilmu bagi
ahli-ahli persatuan silat cekak ini telah dijalankandimana majlis ini
dianjurkan oleh Biro Agama Sektor Pembangunan Kuala Lumpur dan Persatuan SriKandi
Pro.
Pengisian
Majlis Ilmu Silat Cekak Pusaka Hanafi ini memberi penerangan tentang ilmu asas
dalam persilatan melalui ceramah ilmu, yang menerangkan tentang makna cekak
secara asasnya yang mempunyai banyak makna. Makna perkataan cekak ini bergantung
kepada dialek ataupun loghat setiap negeri mahupun penuturnya.Di bahagian Utara
Semenanjung Malaysia, terutama di Negeri Kedah, perkataan cekak telah dijadikan
sebagai satu simpulan bahasa, yang mana membawa makna bertanggungjawab. Secara asasnya, silat cekak
ialah silat yang bertanggungjawab menjaga diri pengamal-pengamalnya dari
dianiayai oleh musuh-musuhnya.
Selain daripada perkataan ‘cekak’, terdapat juga
perkataan yang lain iaitu ‘cakak’ yang membawa maksud bergaduh dalam bahasa
Minang. Silat Cekak juga membawa erti 'Silat Gaduh'. Ini bukan bermakna Silat
Cekak ini suka bergaduh tetapi ia adalah Silat yang boleh dibawa bergaduh untuk
mempertahankan diri. Secara jelas, Silat
Cekak sebenarnya Silat yang benar-benar untuk mempertahankan diri bukan untuk
pertunjukkan di majlis-majlis kenduri ataupun di mana-mana pesta. Sebab itulah
Silat Cekak tidak mempunyai tari menari, gong gendang dan langkah melangkah. Ia
hanya mara kehadapan apabila bertempur dengan musuh.
Cekak juga membawa maksud ringkas. Keringkasan Silat
Cekak ini dapat dilihat dalam sistem mata pelajarannya, yang sangat mudah dan
cepat dipelajari. Ilmu Silat Cekak mendidik pengamalnya supaya tidak mengelak
ke kiri atau ke kanan, tidak pula berundur ke belakang, malah pengamalnya
diajar agar mara ke hadapan dalam satu pergerakan yang pantas. Dalam
pembelajaran buah dalam persilatan, konsep ringkas ini juga ditekankan. Kesemua
21 buah Silat Cekak itu dilakukan secara segerak, dalam erti kata hanya
memerlukan satu pergerakan untuk melengkapkan buah tersebut. Ini memperjelaskan
lagi konsep ringkas yang menjadi salah satu maksud perkataan Cekak itu sendiri.
Dalam pada itu, perkataan secekak ini juga membawa erti
segenggam. Segenggam ini pula membawa kepada banyak maksud. Pertamanya, Silat
Cekak mempelajari yang segenggam bukan yang segantang. Di sini dimaksudkan
bahawa mata pelajaran Silat Cekak merupakan mata pelajaran intisari silat sahaja
(segenggam) bukannya cabang-cabang silat yang banyak (segantang). Oleh kerana
Silat Cekak adalah mempelajari perdu gerak, maka ia sangat cepat, teratur dan
dapat diajar dalam waktu yang singkat sekali.Kedua, segenggam menunjukkan padu.
Jadi Silat Cekak adalah satu Silat yang benar-benar tegas dan berpendirian. Di
mana kaedah-kaedahnya memberi keyakinan kepada pengamal-pengamalnya bahawa
mereka telah mendapat rahsia dan sesuatu yang berguna di dalam bidang seni
mempertahankan diri.
Terdapat beberapa peringkat mempelajari silat cekak ini
iaitu peringkat pertama dikenali sebagai Buah Asas. Buah Asas ini, merupakan
satu kaedah yang mana pengamal silat ini mempelajari asas menangkis serangan
dari hadapan. Yang kedua ialah Buah Jatuh. Kaedah buah jatuh ini merupakan lanjutan
daripada buah asas, iaitu dengan cara menangkis serangan dan menjatuhkan pihak lawan.
Yang ketiga ialahBuah Potong yang mana buah ini digunakan untuk menangkis
semula Buah Asas dan Buah Jatuh jika pesilat Cekak lain cuba menggunakan buah
Silat Cekak ke atas diri kita. Yang keempat ialah Buah Serang. Buah ini
merupakan satu-satunya kaedah untuk menyerang musuh yang mana serangan yang
dilakukan kepada pihak lawan, jika pihak lawan mengelak, akan menyebabkan
mereka terkena serangan, jika pihak lawan menepis serangan, kita akan menangkap
dan menjatuhkan pihak lawan. Pada masa yang sama ia
juga boleh menyerang sambil menangkap pihak lawan yang dikenali sebgai cekak
menyerang dan cekak menangkap. Yang seterusnya ialah Buah Umum. Buah ini di
pelajari melalui keseluruhan teknik pertahanan dan serangan untuk digunakan
secara praktikal. Pada peringkat ini juga para pesilat akan diajar cara - cara
untuk berhadapan dengan pengamal seni beladiri yang lain.
Silat Cekak Pusaka Hanafi adalah salah satu seni
mempertahankan diri yang berasal dari Kedah. Berdasarkan cerita dan perkongsian
ilmu yang disampaikan, silat ini pernah digunakan oleh panglima-panglima kanan
istana pada zaman pemerintahan Sultan Ahmad Tajuddin Halim Shah II yang
merupakan Sultan Kedah ke-21 (1797-1843). Silat cekak ini, kemudiannya
diasaskan dan dilahirkan semula oleh Ustaz Hanafi Ahmad pada tanggal 28
Disember 1965. Kepentingan ilmu mempertahankan diri ini adalah bertujuan untuk
mempertahankan diri, keluarga, agama,bangsa dan negara. Disamping itu,
mempelajari silat ini sangat singkat, kerana ia hanya mengambil masa dalam
tempoh lapan bulan untuk menguasai kesemua peringkat latihan. Tambahan pula, ia
merupakan salah satu seni warisan bangsa yang seharusnya dipelajari oleh orang
bangsa melayu untuk meneruskan warisan.
Dalam pada itu, majlis ilmu yang dilaksanakan juga
bertujuan untuk mengubah perspektif masyarakat kita yang menganggap silat ini
bertentangan dengan agama. Penuntut atau pengamal silat ini juga bebas daripada
sebarang ritual yang bercanggah dengan agama Islam. Walaubagaimanapun, setiap
penuntut atau pengamal perlu mematuhi pantang larang dalam silat tersebut iaitu
dilarang menderhaka kepada ibu, bapa dan guru, bergaduh sesama ahli dan mencaci
silat Melayu asli lain. Silat ini juga bebas daripada amalan khurafat.Di dalam
amalan pembomohan, apabila sesuatu benda itu dijadikan tangkal ia dipercayai
dapat memberi azimat kepada penggunanya. Contohnya kain putih, dalam Seni Silat
Cekak, kain putih yang digunakan oleh penuntut bukanlah suatu
tangkal.Bagaimanapun kain putih yang digunakan oleh penuntut silat cekak hanyalah
sehelai kain yang tidak boleh memberi apa-apa azimat kepada penuntut silat
cekak. Ia sekadar satu simbolik bagi
mengingatkan para penuntutnya agar mempunyai niat yang bersih dalam mempelajari
senibeladiri tersebut. Mempelajari silat cekak bukan untuk bergaduh atau
menjadi kuat. Bukan juga untuk memukul orang sesuka hati. Malah tidak juga
untuk menjadi kebal. Berdasarkan pengamatan salah seorang ahli silat cekak ke
atas kegiatan silat ini sejak tahun 1999 hinggalah sekarang, didapati tiada
ilmu kebal diajarkan dalam silat cekak kerana ilmu kebal adalah suatu amalan
syirik yang bertentangan dengan lunas-lunas Islam.
Mungkin
sudah menjadi satu perkara yang agak fobia bagi masyarakat awam bila melihat
kain putih. Pada kebiasaannya bila melihat lembaran kain putih akan terus
teringat pada kain kapan. Kerana itu agaknya penggunaan kain putih dalam majlis
silat cekak dirasai kurang selesa oleh sesetengah individu. Sekiranya kita
letak kain putih di atas pokok pada waktu malam gelap. Pasti ramai yang mula
berfikir hal tahyul, kurafat, mistik dan sebagainya. Sebagaimana yang telah
jelaskan, kain putih dalam silat cekak hanya suatu simbolik berkaitan
kebersihan niat. Janganlah ini dipertikaikan, kerana dalam kehidupan seharian,
kain putih sememangnya digunakan sebagai simbolik kepada niat yang suci bersih.
Contohnya, seakan-akan sudah menjadi adat/ tradisi dalam masyarakat kita
apabila pasangan pengantin memakai pakaian berwarna putih dalam majlis akad
nikah. Walhal pakaian putih itu bukanlah rukun nikah yang menentukan sah atau
tidaknya. Ia adalah satu simbolik yang melambangkan niat yang baik, bersih
serta ikhlas utk bersatu dalam satu ikatan yang suci murni. Suatu ikatan yang
menghalalkan perhubungan antara lelaki dan wanita.
Seterusnya
ialah tentang penggunaan limau purut. Limau Purut adalah salah satu bahan utama
yang digunakan oleh masyarakat melayu dahulu kala sebagai pewangi badan serta
bertujuan untuk mengeluarkan daki-daki pada badan ketika mandi (sebelum adanya
Lux, Zaytun, May, Dettol dan pelbagai jenama sabun yang lain). Di dalam amalan
silat cekak, limau tersebut hanyalah satu asbab sahaja yang lebih kepada kaedah
asal orang melayu zaman dahulu. Doa dan permohonan tetap juga dipanjatkan
kepada Allah s.w.t.Dalam kehidupan seharian, seandainya anda batuk, adalah elok
juga untuk mengamalkan makan madu dan dicampur dengan perahan limau purut atau
limau nipis. Berselawat dan mohonlah kepada Allahs.w.t agar disembuhkan dari
sakit tersebut. Limau dan madu itu hanya sebagai asbab, tetapi atas kehendak
Allah s.w.t juga yang menyembuhkan segala penyakit.
Berkaitan
dengan doa dan Tawassul. Tawassul berasal dari bahasa Arab yakni dari perkataan
wasilah yang bermaksud kedudukan (al-manzilah) di sisi raja. Wasilah juga
bermaksud darjat (pangkat) dan al-qurbah (hampir). Seseorang yang melakukan
tawassul kepada Allah s.w.t dengan wasilah bermaksud melakukan amalan yang menghampirkan
dirinya kepada Allah s.w.t. Maka al-wasil (pelaku tawassul) ialah orang yang
minat (al-raghib) kepada Allah.Menurut hukum syara’, hukum bertawassul adalah
diharuskan dengan para Nabi-Nabi terutamanya Nabi Ulul Azmi, dan yang paling
utama ialah Nabi Muhammad s.a.w. Tawassul yang dilakukan dengan para wali-wali
yang baik-baik (al-abrar) adalah boleh diterima (maqbul), harus (jaiz) dan
tidak dihukum haram atau makruh dari segi naqal mahupun akal kerana ianya
bersumberkan Kalam Allah, Rasul-NYA s.a.w
dan juga Athar. Tidak ada sebarang khilaf sama sekali tentang keharusan
ini ( yaqta’ dabir al-khilaf ). [rujuk : Abdus Salam al-‘Umrani al-Khalidi, Ar-Risalah
al-Muhammadiyah al-Shamilah Khilal Arba’ at Ahraya Qarnan Kamilah (Taqdim
al-‘Allamah Saiyidi ‘Abdullah Ghanun al-Husaini dan ‘Allamah Saiyidi Muhammad
bin Ajibah) Dar al-Kutub al-Ilmiyyah Beirut. hal.168].
Mungkin
sekalipun dengan para al-anbiya boleh diterima tetapi persoalannya ialah dengan
para wali-wali yang personaliti mereka mungkin agak sukar ditentukan
terutamanya di zaman moden ini jika ada dakwaan. Bahkan adakah tokoh-tokoh sufi
terdahulu boleh dianggap sebagai wali-wali Allah yang mempunyai pelbagai
kelebihan mereka hasil dari ketakwaan, peribadatan, kezuhudan dan kewarakan
mereka. Syeikh Abu al-Fadl Sayyidi Abdullah bin Muhammad al-Siddiq al-Hasani
dalam kitabnya “Ithaf al-Azkiya’ bi Jawaz al-Tawassul bi al-Anbiya’ wa
al-Awliya” menegaskan keharusan perkara ini.Antara firman Allah yang dijadikan
sandaran oleh para ulama ialah(maksudnya): “Mereka semua yang berdoa dan
gemarkan Tuhan Mereka dengan wasilah, merekalah orang-orang yang paling hampir
yang mengharap rahmat-NYA dan mereka takutkan azab-NYA sesungguhnya azab
Tuhan-mu adalah diawasi” (al-Isra’: 57)
Mengikut
pandangan Syeikh Dr Ali Jum’ah, Mufti al-Diyar al-Misriyyah bahawa “Semua empat
mazhab bersetuju atas keharusan (jawaz) bertawassul dengan Nabi SAW bahkan
digalakkan (istihbab), serta ianya tidak membezakan di antara semasa hidup
Baginda SAW atau selepas kewafatannya SAW. Ibn Taimiyyah sahaja yang pelik
(syazz) justeru beliau cuba memisahkan tawassul dengan Nabi selepas
kewafatannya. Tidak perlu diambilkira (‘ibrah) kepelikan ini. Kami menyeru umat
Islam berpeganglah dengan yang telah dipersetujui oleh para ulama’ yang terkenal
(al-a’immah al-a’lam). Malahan terdapat juga hadis-hadis sahih berkenaan dengan
tawassul. Demikian juga dengan kisah Saidina Umar al-Khattab berdoa kepada
Allah secara bertawassul dengan Ibn. Abbas r.a. Perkara ini berlaku semasa
musim kemarau di zaman kekhalifahan beliau.
Sebelum
memulakan langkah untuk memulakan latihan, penuntut hanya membaca surah
al-Fatihah. Ini menjadikan daya penarik kepada generasi muda untuk melibatkan
diri dalam silat.Dalam semua peringkat persilatan, para penuntut akan berlatih
secara berpasangan. Tenaga pengajar hanya menunjukkan kepada penuntut mata
pelajaran yang ingin diajar supaya mereka lebih memahami teknik tersebut. Masyarakat
seharusnya menjauhi seni silat yang telah difatwa sesat seperti Nasrul Haq,
Budi Suci Sejati dan seumpamanya, termasuk juga bela diri yang menyeru roh-roh
tertentu.
Menurut
YM Syeikh Dr. Haji Md. Radzi, matlamat asal persatuan silat tersebut adalah
untuk mengembangkan warisan seni bangsa Melayu agar tidak terus ditelan arus
pemodenan dunia.Selepas 50 tahun bertapak di negara ini, hampir 200,000 orang
telah mempelajari silat cekak di seluruh dunia. Menurut beliau “Kami mempunyai
hampir 100,000 orang penuntut yang masih aktif, 1,542 orang tenaga pengajar dan
250 kelas di seluruh negara”. Jumlah tersebut adalah dua kali ganda lebih besar
berbanding 25 tahun lalu. “Kami juga membuka kelas silat di luar negara seperti
di Melbourne, Australia, Britain dan Arab Saudi. Sambutan yang diterima sangat
menggalakkan terutamanya daripada masyarakat tempatan,” katanya ketika berada
di pejabat Selat Cekak Hanafi di Taman Melawati, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Antara
faktor utama membolehkan Silat Cekak Hanafi terus berkembang, beliau
memaklumkan, ia disebabkan langkah persatuan memperkenalkannya di peringkat
sekolah dan institusi pengajian tinggi.Menerusi langkah tersebut, pihak
persatuan berjaya menarik lebih ramai penuntut baharu yang terdiri daripada
golongan muda untuk mendalami silat berkenaan. Menurut beliau “Kami sentiasa
mempergiatkan promosi-promosi di sekolah menengah dan IPT serta pembaharuan
dalam silat ini agar seiring dengan keadaan semasa,” terang YM. Syeikh Dr.
Haji. Md. Radzi yang telah menjangkau umur 47 tahun.
Antara
pembaharuan yang dilakukan termasuklah memasukkan elemen muzik moden ke dalam
persembahan dan tempat pembelajaran lebih kondusif seperti bilik pendingin
hawa. Mengulas mengenai cabaran menjawat jawatan Guru Utama, beliau memaklumkan
kesukaran paling besar adalah menguruskan dan menggerakkan persatuan tersebut. Katanya,
menguruskan sebuah organisasi yang tidak mempunyai dana tetap dalam tempoh lima
dekad bukan satu tugas mudah.“Kami tidak memperoleh sebarang dana daripada
pihak tertentu”. Persatuan hanya bergantung harap kepada yuran yang dikenakan
kepada penuntut iaitu RM30 sebulan untuk membayar sewa bangunan.“Persatuan
menetapkan khidmat jurulatih adalah secara sukarela tanpa sebarang bayaran,”
ujarnya sambil memaklumkan pihaknya aktif menerima undangan membuat persembahan
di majlis-majlis keramaian.
Di
samping itu, persatuan mempunyai perancangan masa panjang yang rapi bagi
mengukuhkan dan mengembangkan lagi Silat Cekak Hanafi. Antaranya, membina
sebuah bangunan untuk dijadikan ibu pejabat operasi yang baharu di Bangi,
Selangor.Selain itu, YM. Syeikh Dr. Haji.Md. Radzi juga merancang mewujudkan
Yayasan Ustaz Hanafi bagi menabur bakti kepada masyarakat melalui sumbangan
tenaga dan kepakaran. Selain itu juga beliau dapat menimbulkan kesedaran antara
masyarakat dan memupuk perpaduan dalam kalangan ahli persatuan dan saling
menghormati antara satu sama lain.