Tuesday, 10 May 2016

Kemajuan Sukan Futsal Dalam Kalangan Wanita di Malaysia

Oleh:Wan Shahilla Nur Quratulainnie Binti Wan Adnan

Futsal tidak asing lagi pada pandangan masyarakat seluruh dunia. Futsal merupakan permainan bola yang dimainkan oleh dua pasukan dimana masing-masing mempunyai ahli seramai lima orang setiap permainan. Permainan ini tidak jauh bezanya dengan bola sepak padang yang bertujuan adalah untuk memasukkan bola ke gawang lawan. Futsal merupakan istilah yang berasal daripada bahasa Sepanyol atau Portugis iaitu Futbol (bola sepak) dan Sala (ruangan). Menurut FIFA, wujudnya futsal adalah pada tahun 1930 di Montevideo, Uruguay. Futsal ini diperkenalkan oleh Juan Carlos Ceriani, seorang pelatih bola sepak Argentina.

Lantaran itu, sukan ini mula bertapak di Malaysia sekitar akhir tahun 1990-an. Namun begitu, ianya masih kurang mendapat sambutan daripada orang ramai kerana pengaruh sukan bola sepak dan badminton lebih kuat pada ketika itu. Namun, pada tahun 2000 sukan futsal mula dikenali di Malaysia. Oleh itu, ramai yang mula berminat dengan sukan futsal kerana ianya lebih mudah untuk dimainkan, tidak memerlukan ramai pemain dan padang yang luas. Ianya juga mendapat sambutan bukan hanya pada golongan lelaki, malah turut mendapat sambutan yang menggalakkan daripada golongan wanita.

Sukan futsal menjadi lebih terkenal apabila krew produksi program TV inovatif 3R telah bekerjasama dengan Red Films telah menerbitkan sebuah filem yang berkisarkan sukan futsal iaitu filem “Gol & Gincu”. Filem ini telah berjaya membuka mata rakyat Malaysia tentang sukan futsal. Melihatkan kejayaan fail mini, drama rentetan filem ini iaitu Gol & Gincu The Series telah ditayangkan di TV8 pada tahun 2006. Setelah itu, program TV inovatif 3R telah menganjurkan pertandingan futsal terbuka wanita terbesar di Malaysia pada tahun 2006. Pertandingan ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada berbagai pihak dan turut mendapat sokongan daripada artis setempat. Setelah kejayaan filem, drama dan pertandingan ini, pusat-pusat futsal telah tumbuh seperti cendawan selepas hujan di seluruh Malaysia sama ada pengusaha ataupun dibina oleh Exco negeri setempat.

Pelbagai usaha telah dilakukan oleh berbagai pihak bagi mengembangkan lagi sukan ini. Contohnya, memasukkan sukan ini ke dalam Kejohanan Sukan Universiti, Liga Super Futsal KBS-Putrajaya 2011, Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 dan lain-lain. Kejohanan Rentap Futsal Putrajaya 2 Kosmo! 2011 telah mencatatkan acara futsal paling besar yang pernah diadakan di negara ini dan telah dimasukkan ke dalam Malaysia Book of Records (MBOR). Semasa sukan ini mula bertapak di Malaysia, Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) telah mengambil inisiatif dengan menubuhkan Pasukan Futsal Malaysia yang berada di bawah seliaan FAM. Golongan wanita juga tidak terkecuali dari melibatkan diri dalam sukan futsal ini. Di Malaysia juga futsal bukan sahaja dimainkan sebagai riadah namun ianya di pandang serius oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) terhadap penglibatan kaum wanita kerana pasukan wanita kebangsaan turut dibentuk bagi menyertai beberapa kejohanan utama seperti Sukan Sea, Kejuaraan Futsal AFC Wanita dan sebagainya.

Bakat yang sedia ada pada mereka tidak wajar dipandang rendah kerana ianya mampu melahirkan ramai pemain-pemain yang berbakat. Di samping itu, bakat terpendam yang ada mereka, dapat di curahkan dengan setiap perlawanan yang diadakan sama ada perlawanan kecil mahupun besar seperti Kejohanan Sukan Universiti atau kolej, perlawanan liga haram dan sebagainya. Banyak kelab futsal terkenal tempatan yang tertubuh diantaranya Phoenix A, Phoenix B, Tia Amelia dan Felda United. Pada setiap tahun akan ada pengambilan ahli baru untuk kelab-kelab mereka. Pengumuman akan dibuat sama ada dalam bentuk poster atau pun laman sosial seperti facebook, twitter, instagram dan sebagainya. Jadi, mereka yang berminat untuk menyertai sesi pemilihan ini berhak untuk hadir bagi sesi tersebut. Oleh itu, peluang untuk mereka mengembangkan lagi bakat yang ada lebih terbuka.

Kemajuan sukan futsal wanita di Malaysia dapat diperkembangkan lagi dengan sentiasa memantau bakat-bakat terpendam pada anak muda tempatan. Dengan pantauan dan pemilihan yang dibuat mampu memberi peluang kepada mereka untuk bermain diperingkat yang lebih tinggi. Selain itu, Majlis Sukan Negeri (MSN) juga perlu memainkan peranannya. MSN perlu memperbanyakkan pelaksaan saringan ataupun perlawanan-perlawanan yang di anjurkan oleh kerajaan negeri itu sendiri. Di samping itu juga, pihak yang sepatutnya seperti pengurus kelab dan MSN seharusnya membuat pemilihan terbuka kepada anak muda tempatan secara berkala bagi membuka peluang kepada mereka yang tidak terpilih di musim lepas mahupun bakat baru muncul. Tambahan pula, pihak kerajaan perlu mewujudkan satu program latihan dan pembangunan yang berterusan bagi meningkatkan lagi kualiti permainan mereka. Sekali gus, ia menyumbangkan kejayaan kepada negeri dan negara mereka sendiri.

Sejak wujudnya sukan futsal wanita di Malaysia, banyak kemajuan yang tercipta untuk negara. Meski pun sukan futsal wanita tidak dapat perhatian yang sepenuhnya oleh rakyat Malaysia sendiri. Tetapi, ianya berubah sekelip mata apabila skuad futsal wanita negara berjaya melayakkan diri ke separuh akhir setelah berjaya menewaskan lawan yang tidak pernah ditewaskan sejak 2013 iaitu Uzbekistan dan Hong Kong. Kejayaan berganda apabila skuad futsal wanita negara dapat mengatasi pasukan yang jauh lebih berpengalaman walaupun terpaksa akur dengan kekalahan menentang Iran sekali gus melayakkan Iran ke perlawanan akhir serta kalah apabila menentang Thailand bagi merebut tempat ketiga dan keempat. Skuad futsal wanita terpaksa akur dengan hanya mendapat tempat keempat. Walau bagaimanapun, ianya adalah satu pencapaian yang baik bagi skuad futsal wanita kebangsaan.

Pencapaian yang wajar dipuji pada edisi pertama ini diserikan lagi dengan Farahiyah Ridzuan yang dianugerahkan selaku pemegang kasut emas dengan jumlah 7 jaringan diledakkan oleh pemain yang mewakili Felda United dalam Liga Futsal Kebangsaan musim ini. Jika melihat kepada bentuk fizikalnya dengan ketinggian 156 sentimeter dan berat badan 49 kilogram, ditambah dengan raut wajah yang agak comel, ramai yang tidak menyangka bahawa gadis comel ini ialah penyerang yang hebat serta pemain utama untuk skuad futsal wanita kebangsaan sejak hampir 10 tahun yang lalu. Kehadiran gadis comel yang lebih popular sebagai Dekyah ini, bukan saja digeruni pihak lawan di peringkat liga futsal tempatan, malah dia turut mencipta kejayaan di kejohanan antarabangsa. Gadis kelahiran Kota Bharu, Kelantan ini mendapat gelaran sebagai Nazmi Faiz versi perempuan dengan kelincahan yang dipamerkan pada Kejohanan Futsal Wanita AFC 2015. Menurut anak kedua daripada 10 beradik ini, dia mula bermain bola sepak pada usia enam tahun bersama rakan lelaki di kampung yang turut didorong oleh arwah bapa saudaranya, Roslan Hassan yang juga bekas pemain bola sepak Kelantan. Kata ketua pasukan Felda United ini, pada usia 11 tahun dia sudah dipilih menyertai kejohanan futsal anjuran Milo dan tidak berasa kekok meskipun semua peserta adalah lelaki.

Selain itu, ramai juga yang tidak mengetahui bahawa Dekyah mula dipilih mewakili negara seawal usia 13 tahun dan kini dianggap antara pemain paling kerap dipilih mewakili skuad utama. Antara kejohanan antarabangsa yang disertai Dekyah ialah Sukan SEA (merangkul pingat gangsa pada edisi 2013 di Myanmar), Sukan Dalam Dewan Asia di Macau, Piala AFC dan kejohanan AFF pada November 2015 di Bangkok, Thailand. Menurut sumber, akhbar Harian Metro yang disiarkan pada 30 Oktober 2015 memaparkan perkongsian kunci kejayaan Dekyah dalam sukan futsal. Menurut sumber, Dekyah berkata, “semuanya bergantung kepada disiplin, kerjasama rakan sepasukan, tumpuan penuh di setiap perlawanan serta tunjuk ajar jurulatih. Tambah Dekyah lagi, saya tidak pernah sekali pun berasa menyesal memilih sukan ini sebagai karier utama saya. Meskipun ada yang memandang serong kepada perempuan bermain sukan yang dimonopoli oleh lelaki, itu semua tidak mematahkan semangat saya untuk terus melakukan yang terbaik demi mengharumkan nama Malaysia tercinta”.

Permainan menjadi lebih mantap apabila Dekyah digandingkan bersama, Fatin Shahida Azmi dan Nur Shazreen Munazli. Ketiga-tiga mereka di lihat sebagai playmaker bagi pasukan kebangsaan. Selain daripada mereka, pasukan negara turut dibarisi oleh Asma Junaidi, Dadree Rofinus, Usliza Usman, Masturah Majid, Siti Asnidah Zamri, Sity Norazizah Jamal, Rina Jordana Adnan, Farhana Abdullah, Nur Izzati Khairuddin, Noor Asyikin Mohamad Noor, Nurul Atiqa Zaifulizan, Norhawa Md Yassin dan Siti Noor Halimi Hussain. Menurut Fatin Shahida gadis yang berusia 25 tahun ini, dunia sukan sudah sebati dengannya kerana selain futsal, Fatin juga merupakan atlet badminton berbakat dan pernah mewakili Terengganu ke peringkat Sukan Malaysia (SUKMA) pada 2008. Namun, pemilik jersi kebangsaan bernombor 10 ini berkata, selepas tamat tingkatan lima di Sekolah Sukan Terengganu Bukit Nenas (SSTBN), dia mula beralih ke sukan futsal dan bola sepak kerana ingin mengubah angin. Katanya, pasukan pertama yang diwakilinya ialah T-Team pada 2008 sebelum berpindah mewakili Terengganu setahun kemudian.

Sepanjang penglibatan Fatin hampir enam tahun menceburi sukan futsal secara serius, dia turut membantu negara memenangi pingat gangsa pada Sukan SEA di Vietnam lalu selain pelbagai pelbagai kejuaraan tempatan antaranya Piala Futsal Kebangsaan FAM-FELDA 2015 dan juara Liga Futsal Kebangsaan Felda-FAM 2014. Selain itu, Fatin turut terpilih sebagai pemain terbaik perlawanan ketika Malaysia menentang pasukan Hong Kong pada Kejuaraan Futsal Wanita AFC dan anugerah Pemain Paling Bernilai Sepanjang Kejohanan Bola Sepak Wanita Piala Cardiff City 2015. Fatin berkata, “apa yang saya kecapi hari ini hasil usaha tanpa jemu selain mendapat sokongan tidak berbelah bahagi daripada keluarga serta rakan-rakan”.

Seterusnya, Nur Shazreen Munazli, gadis yang tampil dengan imej mengikat rambut ala ‘pony tail’ ketika di gelanggang, bukanlah baru dalam sukan futsal tempatan dan kelibat gadis ini sering menjadi perhatian peminat. Gerakan dan gandingan pemain ini bersama Farahiyah dan Fatin di posisi Ala dan Pivot sememangnya digeruni pihak lawan. Shazreen mengakui bahawa dia mula mengenali sukan futsal pada usia 14 tahun selepas diperkenalkan oleh guru sekolahnya. Menurut Shazreen, ketika bersama MPSJ dia telah  meraih Anugerah Penjaring Terbanyak Piala Futsal Kebangsaan 2015 selain anugerah Pemain Terbaik Liga Futsal 2013/2014. Mengulas mengenai persembahan pasukannya dalam edisi AFC yang lalu, Shazreen mengakui dia dan rakan-rakan agak kepenatan kerana mengharungi perlawanan hampir setiap hari. Walaupun Malaysia sekadar menduduki tempat keempat, dia berpendapat ia adalah satu permulaan yang baik kerana dengan persiapan dalam tempoh yang singkat dan ianya memenuhi sasaran asal skuad futsal negara. Tambah Shazreen lagi, sebagai pemain yang menyarung jersi negara, dia tidak terlepas daripada kutukan peminat sukan berkenaan. Namun, semua kritikan itu dianggap sebagai teguran yang membina dan diajdikan pendorong untuknya mempamerkan aksi yang lebih baik pada masa akan datang.

Semoga dengan pencapaian yang baik ini, pihak yang berkenaan dapat melihat perkembangan futsal wanita ini dengan lebih serius supaya pembangunan lebih bersistematik dapat diterapkan dalam mencungkil bakat-bakat baru dalam sukan yang kian mendapat tempat dihati rakyat Malaysia. Kita seharusnya melihat sukan futsal ini sebagai salah satu aset yang mampu untuk melonjakkan nama negara. Apa yang pasti, sekiranya kita ingin lihat kemajuan dalam bola padang, skuad futsal juga harus diberi perhatian. Kita tidak seharusnya membiarkan bakat-bakat yang ada di negara ini dibiarkan begitu sahaja. Akhir kata, “Majulah Sukan untuk Negara!”.