Tuesday, 10 May 2016

GAYA HIDUP : “ 10 SAAT DALAM PELUKAN KELUARGA ”

OLEH : NAZIRAH BINTI HASSAN

Keluarga di negara Malaysia pada hari ini sedang menghadapi pelbagai cabaran akibat kepesatan pembangunan sosio-ekonomi dan globalisasi. Cabaran baru telah muncul dalam arena sosial dan ekonomi yang telah memberikan kesan kepada keluarga di Malaysia. Antara cabaran yang dialami oleh instituisi keluarga adalah struktur keluarga yang berubah dan dinamik, mengimbangi keluarga dan kerjaya, memenuhi keperluan ekonomi, keibubapaan anak-anak kecil dan remaja serta kelemahan dalam hubungan perkahwinan dan keluarga. Selari dengan penekanan kerajaan pada pengukuhan instituisi keluarga, pelbagai perkara telah dibangunkan dan perlaksanaan pelbagai program pembangunan keluarga yang meliputi ciri-ciri, promosi, latihan dan perkhidmatan, pendidikan, penyelidikan dan pembangunan ( R&D ) serta penggubalan dasar.

Imam Al-Ghazali (1058M-1111M), menjelaskan kebahagiaan ditafsirkan sebagai penyatuan antara ilmu, amal, rohani dan jasmani. Terdapat 14 ciri-ciri kebahagiaan yang dijelaskan oleh Imam Al-Ghazali adalah terletak kepada semua ilmu yang bermanfaat kepada manusia yang mencakupi ilmu teori dan ilmu amali. Ilmu pengetahuan yang mendalam juga menjadi jaminan utama bagi pembangunan bangsa yang kuat dan dihormati kerana melaluinya manusia akan mendapatkan kemuliaan, kehormatan, ketenangan dan kebahagiaan di dunia dan ganjaran di akhirat. Ilmu pengetahuan merupakan prasyarat terpenting dalam mendapatkan nilai kebahagiaan kerana setiap perkara di dunia ini mestilah disandarkan kepada ilmu seperti iman dan perkara keagamaan, ekonomi, politik, sosial dan perpaduan. Tanpa kasih sayang dan perasaan belas kasihan, sebuah keluarga ataupun perkahwinan itu akan tergugat dan boleh membawa kepada kehancuran sesebuah instituisi keluarga.




Kini, hubungan kekeluargaan telah menjadi suatu keperluan untuk ditangani dalam konteks negara kita yang sedang menuju ke era pembangunan dan mencapai status negara maju. Negara kita kini memerlukan pemangkin masa depan yang hadirnya daripada keluarga yang proaktif, stabil serta mampu mengimbangi masalah sosialisasi dengan masalah kerjaya mereka kelak. Justeru itu, peranan keluarga adalah komponen yang paling asas dalam proses pembentukan masyarakat dan negara keseluruhannya. Dari aspek islamik pula, Islam memandang keluarga sebagai sebuah institusi pencorak masyarakat yang bakal dibina. Setiap sifat-sifat seperti kesabaran, ketegasan serta kasih sayang perlu dipupuk dan diimbangi setara dengan pengawalan sikap serta sifat anak-anak. Anak-anak yang diberi perhatian mampu membantu ibu bapa dari mempunyai masalah mengawal sifat dan adab anak-anak supaya tidak menjadi degil dan nakal dalam menjalani kehidupan seharian mereka.

Anak-anak perlu dihargai supaya mereka berasa selamat, disayangi dan dihargai oleh ibu bapa sendiri walaupun masa yang diluangkan secara bersama adalah singkat. Ibu bapa yang proaktif dan prihatin akan sentiasa mengetahui perkembangan anak-anak mahupun menyokong anak-anak melalui mengambil kira setiap perkara, ketahui sifat dan bakat yang dipendam oleh anak-anak mereka agar anak-anak mereka ini berasa dihargai dari masa ke semasa mengikut peringkat tumbesaran mereka. Dalam menangani kemelut anak-anak Melayu terutamanya dalam isu-isu moral, perhatian awal perlu diambil iktibar dan dikira paling penting untuk diberi perhatian sewajarnya ialah institusi keluarga. Hal ini mampu membantu bukan sahaja bagi pihak ibu bapa malah turut memberikan kesan yang positif kepada beberapa pihak yang berkaitan. Justeru itu, mukmin yang berjaya dalam konteks kekeluargaan ini ialah seorang bapa atau ibu yang dapat mengumpulkan kedua-dua tanggungjawabnya secara seimbang dan sempurna.

Pencapaian seorang mukmin dari tujuan pokok kehidupannya di dunia ini, maka sebanyak itulah kemajuan dalam sesebuah keluarga yang dapat diperolehinya. Generasi hari ini perlu diberi pendedahan tentang kepentingan sejarah terhadap masa depan mereka. Apa yang dimaksudkan dengan sejarah di sini bukanlah sekadar mengingati tarikh bila sesuatu peristiwa itu berlaku tetapi yang penting ialah mempelajari kesilapan yang telah dilakukan agar kesilapan itu tidak diulangi. Kedudukan dan kemuliaan wanita inilah menjadi faktor asas dalam melahirkan keluarga yang bahagia. Keluarga bahagia ialah keluarga yang ahlinya sihat, hidup dalam suasana gembira, bersikap saling hormat menghormati serta terpelihara dari segala perkara negatif dalam aspek kehidupan. Pembentukan keluarga yang bahagia sebenarnya memerlukan penyertaan dan kerjasama semua ahli rumah.

Terdapat beberapa aktiviti yang boleh dilakukan secara bersama oleh ibu bapa dengan anak-anak mereka. Antara salah satu kaeddah bagi menonjolkan kasih saying ibu bapa kepada anak-anak ialah menzahirkan kasih saying dan menunjukkan kemesraan kepada setiap ahli keluarga melalui pelukan. Turut dinyatakan dalam konteks kekeluargaan, penghayatan kepada lima teras keluarga bahagia adalah melalui perkataan KASIH, iaitu merujuk kepada Kasih Sayang, Akhlak, Sihat dan Selamat, Ilmu dan Harmoni. Sekiranya lima teras ini tidak diterapkan, ianya tidak memadai sekiranya kita tidak mengamalkannya dalam kehidupan seharian. Alangkah baiknya sekiranya nilai-nilai murni dalam keluarga disampaiakn melalui tindakan dan perlakuan yang lebih kepada mengambil berat, kasih saying yang menyentuh perasaan sebagai contoh melalui pelukan.

Sebenarnya, terdapat banyak lagi cara untuk meluahkan kasih saying dan budaya prihatin dalam keluarga yang boleh menyemarakkan suasana kebahagiaan tetapi pelukan kekeluargaan ini lebih menarik perhatian dan mudah dilakukan tanpa sebarang kata-kata terutamanya apabila pelukan ibu bapa dilakukan kepada anak-anak sepanjang tempoh tumbesaran mereka. Perkara ini juga amat ditekankan oleh Yang Berbahagia Dato Sri Rohani Abdul Karim yang berperanan sebagai Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, dalam aspek pembinaan dan pengukuhan konsep keluarga bahagia ini. Apabila seseorang melakukan pelukan atau urutan ianya akan meransang sel-sel kulit yang dikesan melalui sentuhan dan belaian yang akan disalurkan melalui urat saraf kepada otak. Seterusnya otak akan mengeluarkan tiga hormon yang bertindak sebagai natural transmitter yang menyebabkan kita berasa riang dan kurang stress. Hormon yang pertama ialah Hormon Oxytoxine. Hormon yang lebih dominan juga dikenali sebagai love hormone yang menenangkan sistem saraf dan meransang atau meningkatkan emosi positif dalam minda kita.

Hormon yang kedua dikenali sebagai Flasher Hormone, ianya akan memberikan rasa yang tenang, seronok dan gembira pada seseorang individu. Pelukan dilihat sebagai tindakan untuk meransang pengeluaran Hormone Dopamine. Hormon yang ketiga pula ialah hormone Serotine. Ianya adalah hormone yang terdapat dalam urat saraf tunjang dan usus berfungsi meransang keriangan dan kegembiraan. Terdapat beberapa kebaikan pelukan yang dikenalpasti oleh pakar perubatan antaranya ialah meningkatkan kesihatan individu, mengurangkan risiko penyakit jantung, meningkatkan sistem imunisasi badan, dan seterusnya melawan sebarang jangkitan penyakit. Pelukan juga dapat membantu mengurangkan stress, menyembuhkan kemurungan, melawan keletihan badan, dan membantu dalam melancarkan proses tidur. Pelukan juga turut dikatakan dapat membantu sokongan emosi kepada anak-anak. Pelukan dikatakan sebagai ubat terapi yang sesuai kerana ianya tidak memerlukan kos yang mahal, tidak memerlukan tenaga yang banyak, dan tiada sebarang kesan sampingan. Pelukan juga mampu membantu dalam meningkatkan kemesraan sesama ahli keluarga.

Bagi setiap ibu, memelihara dan mendidik anak dengan sebaik-baiknya adalah kebaktian yang besar terhadap agama, nusa dan bangsa. Sebaliknya mensia-siakan pendidikan dan pemeliharaan anak, bererti mereka telah merosakkan negara. Suami isteri yang hidup rukun dan damai, saling menyenangkan dan menggembirakan dengan perasaan tulus dan ikhlas akan menikmati kebahagiaan hidup yang sebenarnya. Mereka perlu saling memahami. Hasilnya berbahagialah anak-anak yang mempunyai ibu bapa yang sedemikian. Perasaan inilah yang akan menyuburkan sifat-sifat mulia dalam jiwa anak-anak. Selain itu, keretakan rumah tangga yang banyak berlaku dalam kalangan masyarakat kini juga semakin membimbangkan. Ada kalanya keretakan ini berpunca daripada perkara remeh dan paling menyedihkan lagi pasangan yang telah bertahun-tahun lamanya berumah tangga turut mengalami masalah ini sehingga menyebabkan keluarga yang dibina tidak mampu bertahan ke akhir hayat. Jika permasalahan ini berterusan, maka sukarlah untuk membentuk keluarga bahagia dalam kalangan generasi pada masa akan datang.