Tuesday, 10 May 2016

FENOMENA PENCEMARAN UDARA ANCAMAN GLOBAL

OLEH: SANDRA BINTI MA’AT

       Dewasa ini, kemajuan yang dihadapi oleh negara kita telah menyebabkan banyak perubahan yang berlaku terhadap pembangunan negara. Perubahan demi perubahan telah memberi kesan negatif terhadap alam sekitar seperti berlakunya pencemaran udara. Pencemaran udara berlaku apabila terdapat bendasing dalam kepekatan yang mengganggu atau membahayakan manusia, tumbuh-tumbuhan, binatang dan harta benda. Bendasing tersebut terdapat dalam bentuk habuk, asap, kabus, wap dan gas. Sulfur dioksida, karbon monoksida, nitrogen dioksida, alergen, plumbum dan logam-logam lain dan merupakan contoh bahan pencemar yang mampu mengancam alam sekitar dan menjejaskan kualiti udara kita Malaysia dan walaupun manusia  kita sebagai manusia yang memerlukan kemajuan yang berterusannamun kemajuan haruslah diperolehi tanpa menjejaskan keseimbangan alam sekitar.

      Pencemaran udara yang sering dilaporkan di dada akhbar adalah berpunca daripada pelbagai aspek sama ada berlaku secara sengaja atau tidak disengajakan. Salah satu punca utama berlakunya pencemaran udara ialah pembakaran terbuka. Antara contoh pembakaran terbuka ialah pembakaran hutan, sawah-sawah padi dan juga pembakaran yang dilakukan di kawasan perumahan sehingga menyebabkan berlakunya jerebu. Asap dan bau terhasil apabila wujudnya  pembakaran terbuka yang mengandungi karbon monoksida (CO2) dan nitrogen oksida (NOx) hingga terbentuknya pembentukan jerebu. Pembakaran terbuka juga turut berlaku di kawasan perindustrian dan terdapat juga kilang yang menghasilkan bahan-bahan lain yang apabila dibakar akan membentuk gas-gas beracun yang boleh membahayakan kesihatan penduduk setempat.

        Jerebu dikatakan  muncul pada sekitar tahun 1983 dan mengganggu kehidupan seharian di Malaysia dan pada ketika itu juga punca terjadinya masalah jerebu masih belum diketahui dan terdapat beberapa andain bahawa jerebu terjadi akibat daripada abu yang terapung dari letusan gunung berapi, zarah asap terapung dari hutan terbakar secara besar-besaran, pembakaran terbuka pertanian di negara jiran dan juga pembakaran pertanian tempatan dan secara umumnya, jerebu merupakan satu fenomena tradisi atmosfera di mana debu, habuk, asap dan lain-lain zarah mencemar ruang udara. Gangguan ini berterusan pada Ogos 1990 dan berulang setiap tahun sejak 1992. Pembakaran terbuka yang berlaku di negara jiran seperti Indonesia telah memberi kesan kepada kualiti udara di negara kita kerana kedudukan negara Indonesia yang merupakan negara jiran bagi Malaysia menjadi punca kepada berlakunya pencemaran udara di negara ini. Jerebu yang berlaku mengambil masa yang agak lama untuk pulih dan perkara ini akan menjejaskan kebersihan dan kualiti alam sekitar. Masyarakat Malaysia dan negara-negara jirannya seperti Indonesia, Singapura dan Thailand telah menghadapi ancaman kesihatan yang sangat teruk yang disebabkan oleh jerebu yang melanda ketiga-tiga negara tersebut. Jerebu yang dimaksudkan disebabkan oleh pembakaran yang berlaku di Tenggara Sumatera, Indonesia dan asap serta  jerebu tebal yang terjadi akibat pembakaran tidak terkawal di Indonesia telah menyelubungi hampir kesemua negeri di Malaysia dan Singapura termasuklah Thailand.

       Sesungguhnya, fenomena ini telah memberi ancaman kepada seluruh dunia dari segi fizikal mahupun emosi. Menurut sebuah kajian yang telah dilakukan oleh pelajar Universiti Kebangsaan Malaysia, Teoh Hsien-Jin dan Tan Kai Ling, dari segi emosi, fenomena jerebu menyebabkan masyarakat berasa runsing, keliru, kekurangan tenaga, ketakutan dan tidak ingin melakukan sebarang kerja. Dari segi fizikal pula, kejadian jerebu telah menyebabkan masyarakat menghadapi kegatalan atau mata merah, selesema, sakit kepala, demam, rasa ingin muntah dan sakit kerongkong. Jelaslah bahawa fenomena jerebu mendatangkan pelbagai keburukan kepada masyarakat sedunia, khususnya dari segi ekonomi, sosial mahupun alam sekitar.

         Seiring dengan kemajuan negara, masyarakat di negara kita juga telah mencapai kemajuan sebagai buktinya majoriti daripada setiap keluarga memiliki sebuah kenderaan untuk memudahkan pergerakan ke mana sahaja. Penggunaan kenderaan bermotor yang seperti kereta dan motor semakin meningkat telah mengundang kepada berlakunya pencemaran udara. Fakta menunjukkan bahawa kenderaan merupakan faktor terbesar yang menyebabkan pencemaran udara. Keadaan ini boleh dilihat di kawasan-kawasan bandar yang menjadi pusat tumpuan orang ramai yang sesak dengan kenderaan bermotor. Asap kenderaan akan menghasilkan karbon monoksida seterusnya dibebaskan ke udara dalam kuantiti yang banyak. Terdapat pengguna yang tidak mempunyai kesedaran untuk melakukan servis kenderaan mereka kerana menganggap bahawa ia tidak akan memberikan kesan yang serius terhadap alam sekitar. Sekiranya semakin ramai masyarakat yang tidak mempunyai kesedaran, maka kualiti udara negara kita berada pada tahap yang paling rendah disebabkan oleh pembebasan gas-gas yang menjejaskan kualiti negara.

         Sektor perindustrian juga telah mengakibatkan isu pencemaran udara sering berlaku terutamanya di kawasan-kawasan perkilangan. Pelepasan asap daripada cerobong kilang terus ke udara telah berlaku tanpa tapisan. Misalnya, aktiviti perindustrian kilang seperti pembuatan kereta, elektronik dan penghasilan baja melepaskan asap tanpa pemasangan alat penapis udara. Asap yang dibebaskan terdiri daripada gas merbahaya dan kotor sekaligus mencemarkan kualiti udara. Perkara sebegini seharusnya dielakkan bagi menjamin kebersihan alam sekitar kita supaya dapat memberi keselesaan kepada masyarakat untuk berada di negara ini.

        Pembakaran terbuka boleh menyebabkan pencemaran udara yang secara langsung akan menjejaskan tahap kesihatan masyarakat yang tinggal atau bekerja berdekatan dengan kawasan berlakunya pembakaran tersebut .Sejumlah besar partikel dan gas-gas seperti karbon dioksida, metilbromida, karbon monoksida, metan, hidrokarbon, oksida nitrik dan partikel habuk terhasil daripada pembakaran hutan secara terbuka. Karbon monoksida yang dibebaskan akan bergabung dengan haemoglobin dan mengurangkan jumlah oksigen yang masuk ke dalam sistem tubuh badan kita. Gabungan tersebut akan mengakibatkan perubahan fungsi sesetengah organ seperti otak dan sistem vaskular serta mengganggu perkembangan fetus. Udara menjadi kotor dengan kandungan bendasing, gas karbon dioksida, karbon monoksida dan bahan pencemaran yang lain. Pembakaran yang dilakukan di luar yang kemudiannya dilepaskan ke udara sekeliling secara terus tanpa melalui cerobong asap mengandungi kandungan udara yang kotor yang boleh mengakibatkan otak kita gagal berfungsi dengan sebaiknya dan juga boleh menyebabkan mata berair dan pedih. Justeru itu, pencemaran udara telah memberi impak yang besar terhadap kesihatan manusia.

         Bahan-bahan pencemar terampai di udara dan memberi kesan negatif kepada tumbuh-tumbuhan. Cahaya matahari dihalang sampai kepada tumbuhan oleh pepejal terapung di udara. Dianggarkan bahawa jumlah cahaya matahari dikurangkan sebanyak lebih kurang 70% ketika jerebu berlaku berbanding hari tanpa jerebu. Pengurangan cahaya akan mengganggu proses fotosintesis sekaligus menyebabkan tumbuhan semakin tidak produktif. Ianya memberi kesan negatif kepada sektor pertanian kerana tumbuh-tumbuhan memerlukan cahaya yang cukup untuk melakukan proses fotosintesis. Keadaan ini mengurangkan keupayaan tumbuhan melakukan aktiviti-aktiviti tersebut seterusnya merencatkan pertumbuhan pokok serta menyebabkan kualiti dan kuantiti penanaman sayuran berkurang disebabkan oleh kurang penembusan cahaya matahari kepada tumbuh-tumbuhan.

        Kepelbagaian biologi juga akan terancam akibat daripada pencemaran udara. Kepelbagaian biologi yang bermaksud keanekaan dan perbezaan organisma yang hidup dengan keanekaan habitat dan proses biologi merupakan satu khazanah yang perlu dijaga untuk generasi kini dan juga akan datang. Gas-gas seperti sulfur dioksida dan nitrogen dioksida yang dihasilkan oleh industri boleh memberi kesan terhadap pertumbuhan pokok-pokok. Asid yang terbentuk di atmosfera akan dimendapkan ke kawasan hutan melalui hujan asid. Kesannya, tanah akan menjadi lebih berasid, kurang nutrien dan meningkatkan kepekatan elemen seperti aluminium yang boleh merencatkan proses pertumbuhan tumbuhan. Haiwan yang bergantung pada tumbuhan tersebut juga akan terganggu proses pembesaran dan pembiakannya hingga menyebabkan masalah pembiakan berlaku. Air daripada tanah yang berasid juga akan mengalir ke kawasan tasik dan sungai sekaligus memberi kesan terhadap hidupan akuatik seterusnya juga akan menyebabkan manusia yang mengambil air daripada tasik tersebut juga turut mengalami masalah genetik. Oleh itu, kepelbagaian biologi di sesuatu habitat akan merosot akibat daripada pencemaran udara.

      Isu pencemaran udara yang terjadi akan menyebabkan industri pelancongan terjejas yang akan mengakibatkan kerugian yang besar. Habuk yang banyak dibebaskan ke udara akan menjadikan persekitaran tidak bersih dan tidak selesa. Kesan daripada ketidakselesaan tersebut, kadar kemasukan pelancong asing ke negara ini akan berkurangan begitu juga masa lawatan akan menjadi singkat. Secara tidak langsung, industri perhotelan, restoran dan pengangkutan yang ditawarkan mengalami kerugian teruk. Pendapatan penduduk tempatan juga akan berkurangan seperti penjualan kraftangan yang dihasilkan tidak mendapat pulangan. Justeru itu, pencemaran udara telah memberi kesan yang besar terhadap segala aktiviti yang berlaku dalam negara kita.

      Pelbagai usaha boleh dilakukan bagi mengatasi isu pencemaran udara yang sering melanda negara kita pada masa kini. Antara usaha yang telah dilakukan ialah program kitar semula, kempen-kempen dan penguatkuasaan undang-undang. Selain itu, usaha penggunaan teknologi moden juga boleh dilakukan seiring dengan kemajuan yang dihadapi oleh negara dalam era teknologi ini. Pada pendapat saya, bagi menjayakan usaha tersebut, kerjasama daripada masyarakat adalah sangat penting supaya dapat sama-sama mengatasi isu pencemaran udara dan dapat menjaga kebersihan alam sekitar disamping dapat mengekalkan kelestarian alam. Kesedaran setiap individu harus ada untuk mengelakkan bumi ini dari terus tercemar dengan aktiviti yang boleh membahayakan atau menjejaskan kualiti udara. Kesedaran yang ada dalam diri akan menggalakkan seseorang itu untuk berperanan dalam usaha mengatasi isu pencemaran udara yang berlaku di negara kita.

        Program Kitar Semula merupakan salah satu cara bagi mengatasi isu pencemaran udara dengan memberikan pendidikan kepada masyarakat mengenai proses dan kaedah-kaedah yang boleh dilakukan untuk menjayakan program yang dijalankan dan kitar semula ini perlu dilakukan secara berterusan supaya menjadi kebiasaan supaya dapat membantu mengelakkan pembuangan sampah secara terbuka  yang akan mencemarkan kualiti udara di negara kita. Pelancaran Program Kitar Semula oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan merupakan satu usaha untuk mengurangkan penghasilan sampah dengan tujuan mengurangkan pencemaran terhadap alam sekitar. Proses mengitar semula melibatkan usaha mengumpul, memproses dan mengguna semula bahan-bahan yang pernah dianggap sebagai sampah. Komitmen daripada semua pihak penting dalam menjayakan program kitar semula.

        Penubuhan badan kesukarelan atau organisasi-organisasi seperti sekolah-sekolah atau Kelab Rakan Muda boleh bersama-sama dalam membantu mengatasi isu pencemaran udara sekaligus menjaga kebersihan alam sekitar. Para guru di sekolah harus memainkan peranan untuk memberi kesedaran kepada anak didik supaya lebih prihatin terhadap alam sekitar melalui subjek sains atau pendidikan moral. Selain itu, pihak sekolah juga boleh mengadakan pertandingan kelas paling bersih dan kemas supaya murid-murid mempunyai rasa tanggungjawab terhadap alam sekitar. Usaha yang bermula dari sekolah adalah sangat penting kerana ‘melentur buluh biarlah dari rebungnya’. Murid-murid di sekolah boleh dikategorikan sebagai kanak-kanak dan mereka adalah lebih mudah untuk dibentuk sejak dari awal lagi berbanding individu yang telah mencecah usia dewasa. Kelab Rakan Muda pula perlu mengadakan aktiviti kemasyarakatan seperti mengumpul barang-barang kitar semula dari rumah ke rumah. Usaha sebegini akan menggalakkan di negara kita untuk menyedari kepentingan menjaga alam sekitar sekaligus dapat mengatasi isu pencemaran udara.

        Penggunaan teknologi juga merupakan usaha bagi mengelakkan atau mengurangkan isu pencemaran udara dengan adanya penggunaan alat seperti MiniVol Portable Air Sampler yang digunakan bagi mengesan pencemaran udara. Selain itu, Pengasing bendasing digunakan untuk mengawal pencemaran dengan menarik dan mengasingkan partikel dari udara dan melekat pada dinding cerobong asap kilang. Wet scrubber juga digunakan supaya dapat menghalang bahan pencemar bebas ke udara. Alat ini digunakan berdasarkan prinsip di mana satu saliran gas dihubungkan dengan cecair supaya bahan tercemar dapat larut dalam cecair. Catalytic converter yang digunakan pada kenderaan bermotor juga dapat membantu mengatasi masalah pencemaran udara yang berpunca daripada asap-asap kenderaan. Penukar bermangkin (catalytic converter) perlu diwajibkan penggunaannya dalam industri pembuatan kenderaan bermotor. Alat tersebut berfungsi menukarkan hidrokarbon dan karbon monoksida kepada karbon dioksida dan wap dan penukaran tersebut akan membebaskan bahan yang lebih bersih dan selamat ke udara.

        Penggunaan bahan bakar yang mesra alam juga merupakan langkah untuk mengatasi masalah alam sekitar dan jika penggunaan pengangkutan awam sukar untuk dilaksanakn, maka  gunakanlah bahan bakar yang mesra alam seperti bioetanol sebagai bahan bakar kendaraan atau mesin industri dan perhatian dari pemerintah memang diperlukan  untuk masalah bioetanol ini, kerana sememang produk tersebut belum ada dipasaran. Penggunanan bahan bakar jenis pertamax menghasilkan pembakaran yang lebih sempurna dan lebih mesra alam bagi udara dibanding premium. Penggunaan tenaga suria untuk suatu industri merupakan salah satu pilihan yang bijak bagi industri untuk tenaga yang terbaru serta mesra alam. Sememang diketahui bahwa tenaga suria dapat menghasilkan energi yang dapat digunakan untuk menghidupkan mesin- mesin industry namun masih kurang mendapat perhatian. Memanfaatkan biogas sebagai bahan bakar juga turut membantu dalam menangani masalah alam sekitar kerana beberapa organisme dapat mengasilkan metana yang dapat mecemarkan udara kita. Dan penelitian menunjukkan bahawa gas metana dapat dijadikan sebagai bahan bakar gas, oleh karena itu metana dikenal dengan biogas. Gas metana terdapat pada kotoran haiwan ternakan seperti sapi dan dari kotoran ini dapat diolah sebagai bahan bakar yang digunakan untuk memasak dan ia adalah suatu pilihan yang sangat bijak, mengingat harga gas terus meningkat naik seiring dengan kenaikan harga barang dan  dengan menggunakan biogas selain megurangkan pencemaran.

        Kesimpulannya, pencemaran udara boleh membawa kesan negatif kepada kesihatan kita dan ketidakseimbangan bumi pada masa hadapan. Pertambahan aktiviti perindustrian sememangnya membawa kepada pembangunan dan kemakmuran kepada negara. Namun, pembangunan yang kurang terancang memberi beberapa kesan sampingan terhadap persekitaran. Menurut pandangan Islam bahawa manusia harus sentiasa menjaga dan melestarikan alam agar tidak menjadi rosak atau tercemar. Hal ini kerana, alam adalah kurniaan Allah yang diberikan kepada manusia merupakan suatu amanah. Sebagai seorang rakyat di negara ini, kita mestilah berganding bahu dalam memastikan persekitaran sentiasa berada dalam keadaan bersih dan sihat untuk kelestarian bersama. Fenomena pencemaran udara yang mengancam keselamatan global haruslah mempunyai langkah dan kaedah yang sesuai bagi mengatasi masalah yang wujud disamping menjadikan negara yang didiami mempunyai kualiti udara yang sangat bersih.