OLEH :NIZAM BIN MOHAMAD
Bola sepak merupakan sukan yang menjadi
pilihan rakyat malaysia kerana Bola sepak dikatakan datang ke Tanah Melayu
bersama penjajah British sekitar abad ke-19. Selepas itu, sukan tersebut
mendapat tempat di hati rakyat sehingga hari ini. Kini, ia menjadi antara sukan
utama negara.
Berdasarkan
sejarah pasukan Malaysia dibanggakan apabila Malaysia merupakan antara pasukan terkuat di Asia pada
awal 1950-an sehingga 1960-an bersama-sama dengan pasukan Korea Selatan.
Pencapaian terbaik negara ialah berjaya memenangi pingat gangsa Sukan Asia 1962
di Jakarta. Kegemilangan pasukan bola sepak kebangsaan berterusan apabila layak
ke Sukan Olimpik Munich 1972 apabila menewaskan Jepun, Korea Selatan, Taiwan
dan Filipina di pusingan kelayakan. Pasukan bola sepak kebangsaan terus
cemerlang apabila berjaya memungut pingat gangsa Sukan Asia Tehran 1974 dan
berjaya layak berturut-turut ke Piala Asia 1976 dan 1980. Sukan bolasepak
negara terus mekar apabila sekali lagi layak ke Sukan Olimpik Moscow 1980.
Walaupun
beberapa kejayaan telah dicapai, namun ia dilihat belum mampu membuahkan hasil
yang konsisten atau menjadikan Malaysia sebagai kuasa bola sepak yang disegani
secara mampan. Masih wujud lagi pelbagai isu yang perlu diatasi agar semua
pemegang taruh dalam program pembangunan bola sepak negara tidak bertindak
secara berasingan atau melaksanakan tugas masing-masing dengan matlamat atau
cara yang berbeza-beza.
Atas
kesedaran ini, pada tahun 2013, Menteri Belia dan Sukan telah berusaha untuk
mengambil inisiatif agar pembangunan sukan bola sepak negara dapat dilaksanakan
secara menyeluruh dan menggunakan
pemikiran strategi di luar kotak. Sebagai permulaan, satu transformasi
komprehensif terhadap program pembangunan sukan bola sepak kini diperkenalkan,
di mana penekanan kepada beberapa teras pembangunan akan diberikan melalui satu
pelan yang dikenali sebagai Pelan Pembangunan Bola Sepak Negara (PPBN). PPBN
merupakan satu pelan jangka panjang, di mana fasa pertama akan bermula dari
tahun 2014 sehingga 2020.
Buat
pertama kalinya, program pembangunan bola sepak akan berpandukan kepada
falsafah atau DNA bola sepak negara yang dibentuk dengan mengambil kira cara
terbaik yang perlu diamalkan dalam menggilap bakat pemain muda. DNA bola sepak
ini akan diterapkan dalam setiap peringkat latihan PPBN bagi pemain berusia
tujuh sehingga 17 tahun di seluruh negara. DNA ini juga akan menjadi asas
kepada semua pemegang taruh dalam melunaskan tanggungjawab masingmasing dan
membolehkan satu matlamat yang jelas dan sama dijadikan sebagai panduan dalam
melahirkan pemain bola sepak Malaysia bertaraf dunia.
Di
bawah PPBN, akses kepada pusat latihan, corak latihan tersusun dan kemudahan
yang menepati piawaian akan dipertingkatkan lagi. Selain itu, penambahan jumlah
jurulatih dan pertandingan akan dilakukan serentak, secara
berperingkat-peringkat. Pusat Latihan MyKids Soccer ( tujuh sehingga 12 tahun)
akan dijenamakan semula menjadi Akademi Tunas manakala program bola sepak untuk
pemain-pemain berumur 12 sehingga 17 tahun pula akan dikendalikan di Pusat -
Pusat Latihan Daerah (PLD). Akademi Bola Sepak Negara di Gambang akan diberi
nama baharu, iaitu Akademi Bola Sepak Negara Mokhtar Dahari (AMD).
Kementerian
Belia dan Sukan (KBS) berhasrat untuk
menambah baik inisiatif yang telah dirangka selama ini dan memperbaiki sebarang
kelemahan yang telah timbul daripada pelaksanaan pelan pembangunan sebelumnya.
KBS juga ingin membawa sukan bola sepak negara ke tahap yang lebih cemerlang
melalui pendekatan baharu yang menyeluruh serta mampan. Pendekatan baharu
melalui PPBN yang berpaksikan lima teras strategik ini diharap boleh
menyemarakkan pembangunan secara holistik agar lebih ramai akan meminati,
menyertai serta cemerlang dalam sukan bola sepak. Dalam hal ini, satu falsafah
bola sepak negara atau DNA akan diperkenalkan untuk membentuk golongan muda
agar menjadi pemain yang bukan sahaja mempunyai kepakaran teknikal dan
taktikal, tetapi juga mempunyai gaya permainan tersendiri yang memberi
kelebihan di persaingan serantau. Mereka juga akan dibentuk supaya mempunyai
daya ketahanan mental dan fizikal yang tinggi. DNA bola sepak ini akan diguna
pakai dan disemai di setiap peringkat latihan PPBN dan menjadi panduan kepada
semua pemegang taruh dalam melaksanakan tanggungjawab masing-masing dalam usaha
melahirkan pemain bola sepak Malaysia bertaraf dunia.
Selain
itu, kerjasama dan penyelarasan di antara pemegang taruh yang berkaitan juga
akan terus diperkukuh dan diperkemaskan lagi. Setiap bidang tugas dan kuasa
badan-badan yang berkenaan juga akan digariskan dengan lebih jelas agar tiada
tugas yang bertindan. Ini juga penting supaya setiap agensi yang
bertanggungjawab dapat menjalankan tugas mereka dengan lebih cekap dan berkesan.
Dalam
mencari formula terbaik dalam membangunkan sukan bola sepak negara, beberapa
langkah telah diambil bagi memastikan PPBN yang dihasilkan adalah komprehensif
dan efektif. Inisiatif pertama merupakan satu misi mencari fakta yang
dilaksanakan atas arahan Menteri Belia dan Sukan untuk mendapat maklum balas,
mengenal pasti masalah dan mengatur keutamaan bagi sukan bola sepak.
Dalam
mencari nafas baru inisiatif pembangunan bola sepak negara, bekas jurulatih
pasukan remaja Bayern Munich, salah sebuah kelab terkemuka di dunia dan juga
bekas pemain bola sepak negara, telah melantik Lim Teong Kim sebagai Pengarah
Program Pembangunan Bola Sepak Negara. Beliau mempunyai pengalaman lebih 30
tahun dalam melatih dan bermain bola sepak di Jerman serta Malaysia. Dalam
usaha menyediakan PPBN, Lim telah dipertanggungjawabkan untuk berkongsi ilmu,
pengalaman dan kepakaran beliau
dalam pembangunan bola sepak
negara, dengan mengambil kira perbezaan budaya antara Eropah dan Malaysia.
PPBN
akan dilaksanakan berdasarkan lima teras strategik yang akan dikupas
selanjutnya selepas ini. Untuk memastikan Pelan ini dapat dilaksanakan dengan
sebaik mungkin, ia akan dipantau oleh JPBN, yang dipengerusikan sendiri oleh
Menteri Belia dan Sukan. Ahli-ahli JPBN adalah terdiri daripada Kementerian
Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Persatuan
Bolasepak Malaysia (FAM), Majlis Sukan Negara Malaysia (MSN), media dan
beberapa sektor swasta.
Berdasarkan
kajian, Malaysia sememangnya ketinggalan dalam aspek pebangunan bola sepak
apabila kita tidak mempunyai satu DNA khusus sebagai teras kepada pembangunan
bola sepak negara. Pelaksanaan kebanyakan program pembangunan bola sepak selama
ini kerap berubah berdasarkan kepada kemahuan jurulatih semasa. Keadaan ini
tidak banyak membantu pembentukan pasukan negara yang mantap untuk bersaing di
peringkat antarabangsa. Berdasarkan
kepada faktor ini, maka PPBN akan memperkenalkan konsep DNA sebagai kunci
kejayaan dan paksi pembangunan bola sepak negara.
DNA
ini juga penting dalam pembentukan diri pemain bola sepak dari segi kekuatan
mental dan nilai. Seorang pemain yang serba boleh mestilah tidak hanya
mahir dari segi teknikal dan taktikal semata-mata, tetapi juga perlu menjadi
individu yang mempunyai kekuatan rohani dan fizikal, bijaksana dan kreatif,
sentiasa membara semangat patriotiknya, berminda kelas pertama, berdisiplin,
mempunyai semangat berpasukan yang tinggi, mempunyai keinginan untuk menang
tetapi tidak takut untuk kalah, bercita-cita tinggi tetapi juga rendah diri.
Ini bukanlah satu senarai yang komprehensif – memadai dikatakan inilah
ciri-ciri minima yang perlu ada pada seorang pemain bola sepak yang mahu
menjadi jaguh di peringkat antarabangsa.
PPBN
merupakan satu usaha jangka masa panjang kerajaan melalui KBS dalam
membangunkan sukan bola sepak di negara kita. Komitmen kerajaan dalam
melaksanakan PPBN adalah amat tinggi dan fasa pertama ini sudah pastinya
merupakan titik permulaan kepada satu usaha berterusan dan konsisten.Pelaksanaan
pelan ini yang melibatkan pelbagai pihak dengan tanggungjawab masing-masing
yang jelas, menjanjikan satu usaha yang lebih jitu dan mampan ke arah memajukan lagi sukan
ini. Sudah pastinya, dengan kerjasama erat daripada pelbagai pihak, PPBN akan
berjaya melahirkan satu generasi pemain muda bola sepak yang serba boleh. Ini pasti
akan merancakkan lagi usaha mencungkil dan mengasah bakat anak-anak muda negara
yang diharapkan dapat mengembalikan zaman kegemilangan bola sepak negara yang
pernah kita kecapi suatu masa dahulu. Dengan sokongan padu rakyat Malaysia,
bola sepak negara mampu diangkat ke peringkat yang lebih tinggi dengan kejayaan
di peringkat antarabangsa yang sudah pastinya akan membanggakan semua.