OLEH:HASIRAH BT. HARIS
Tahun 1990 menandakan berakhirnya Rangka
Rancangan Jangka Panjang Pertama (RRJP 1) dan Dasar Ekonomi Baru (DEB). Dalam
tempoh pelaksanaan DEB (1971 - 1990), ekonomi Malaysia telah berkembang dengan
pesatnya walaupun menghadapi pelbagai cabaran. Sesuatu yang tidak boleh
disangkal adalah walaupun pencapaian DEB bukanlah satu kejayaan yang menyeluruh
namun banyak kejayaan telah dicapai. Jelas bahawa proses “socio economic
engineering” ala DEB ini memerlukan masa yang lebih lama daripada apa yang
telah diperuntukkan dengan mengambil kira kesan-kesan daripada pergolakan dunia
amnya. DPN telah dilancarkan oleh Y.A.B. Dato' Seri Dr. Mahathir Mohamad,
Perdana Menteri Malaysia pada 17 Jun 1991. Rangka Rancangan Jangka Panjang
Kedua (RRJP 2) 1991 - 2000 telah digubal berasaskan Dasar Pembangunan Nasional
(DPN), menandakan bermulanya satu lagi era baru di dalam usaha untuk menjadikan
Malaysia sebuah negara maju menjelang tahun 2020.
Perpaduan
negara akan terus menjadi matlamat terakhir Dasar Pembangunan Nasional kerana masyarakat
yang bersatupadu adalah penting untuk memperkukuhkan lagi kestabilan sosial dan
politik dan mengekalkan pembangunan ekonomi yang berterusan. Dasar Pembangunan
Nasional menetapkan satu langkah ke arah membolehkan Malaysia mencapai taraf
sebuah negara yang maju dalam semua segi iaitu dari segi keadilan sosial,
nilai, etika dan moral, kestabilan politik, kualiti hidup, kecekapan
pentadbiran kerajaan, dan kecemerlangan ekonomi. DPN akan terus mengekalkan
strategi asas DEB iaitu pembasmian kemiskinan dan penyusunan semula masyarakat
untuk memperbaiki ketidakseimbangan sosial dan ekonomi antara kaum dan dengan
ini akan menyumbangkan ke arah mengukuhkan perpaduan negara.
DPN
adalah bertujuan untuk mewujudkan satu corak pembangunan yang lebih seimbang yang
merangkumi aspek – aspek kritikal diantaranya mewujudkan keseimbangan yang
optimum di antara matlamat pertumbuhan ekonomi dengan pengagihan yang saksama
dan memastikan pembangunan yang seimbang bagi sektor-sektor utama ekonomi untuk
meningkatkan daya saling melengkapi antara sektor bagi mengoptimumkan
pertumbuhan. Selain itu, mengurang dan akhirnya menghapuskan ketidaksamaan
sosial dan ekonomi negara untuk menggalakkan perkongsian secara lebih adil dan
saksama faedah yang diperolehi dari pertumbuhan secara lebih adil dan saksama
untuk semua rakyat Malaysia.
Tambahan, menggalak dan memperkukuhkan integrasi
nasional dengan mengurangkan jurang ketidakseimbangan yang luas dalam
pembangunan ekonomi antara negeri dan antara kawasan bandar dan luar Bandar.
Dasar Pembangunan Nasional turut membangunkan sebuah masyarakat yang progresif
di mana semua rakyat menikmati kesejahteraan hidup yang tinggi di samping
mempunyai nilai-nilai sosial dan kerohanian yang positif serta menghayati
perasaan bangga dan cintakan Negara. Di samping itu, memajukan sumber manusia
dan termasuk mewujudkan tenaga kerja yang berdisplin dan produktif serta
meningkatkan kemahiran yang perlu bagi menghadapi cabaran pembangunan industri
melalui satu budaya kecemerlangan tanpa menjejaskan matlamat penyusunan semula
masyarakat. Seterusnya, menjadikan sains dan teknologi sebagai satu teras
penting dalam perancangan dan pembangunan sosio-ekonomi yang memerlukan usaha
membangunkan keupayaan dan kebolehan
dalam teknologi strategik dan berasaskan ilmu serta memajukan budaya sains dan
teknologi dalam proses membangunkan satu ekonomi perindustrian yang moden dan
memastikan bahawa dalam usaha mencapai pembangunan ekonomi perhatian yang
sewajarnya diberikan kepada perlindungan alam sekitar dan ekologi supaya dalam
jangka panjang bagi memastikan pembangunan negara dapat dikekalkan secara
berterusan.
DPN
telah mengambil kira kemajuan yang telah dicapai setakat ini di bawah DEB serta
kekuatan dan kelemahan yang wujud semasa pelaksanaannya. Ia mengandungi
beberapa peralihan pendekatan dengan tujuan mengadakan satu dimensi baru dalam
usaha pembangunan, terutamanya dalam membasmi kemiskinan dan menyusun semula
masyarakat. Dimensi-dimensi baru DPN adalah memberi penekanan yang lebih kepada
strategi pembasmian kemiskinan untuk tujuan menghapuskan kemiskinan di kalangan
golongan termiskin “hardcore poor” di samping mengurangkan kemiskinan relatif.
(Golongan yang termiskin adalah keluarga berpendapatan 50% atau kurang daripada
Pendapatan Garis Kemiskinan. Bagi tahun 1990, Pendapatan Garis Kemiskinan
adalah sebanyak $370 sebulan bagi saiz isi rumah 5.1 di Semenanjung Malaysia, $544
bagi saiz isi rumah 5.4 di Sabah dan $452 bagi saiz isi rumah 5.2 di Sarawak.
Kira-kira 143,000 isi rumah atau 4% daripada jumlah isi rumah adalah tergolong
sebagai keluarga termiskin.
Dasar Pembangunan Nasional menumpukan perhatian
kepada pembangunan sebuah masyarakat Perdagangan dan Perindustrian Bumiputera
(MPPB) sebagai satu strategi penting kearah meningkatkan dan seterusnya
mengekalkan penyertaan Bumiputera dalam kegiatan ekonomi. Tambahan, meningkatkan
penekanan kepada sektor swasta untuk melibatkan diri dalam proses penyusunan
semula masyarakat dan memberi lebih tumpuan kepada pembangunan sumber manusia termasuk
sistem nilai dan etika bagi mencapai matlamat pertumbuhan ekonomi dan
pengagihan yang saksama.
Antara
pendekatan baru yang diambil dalam usaha melaksanakan DPN adalah hasil
pencapaian yang berkualiti dan berkekalan Pendekatan yang lebih terpilih akan
dibuat dengan mengambik kira keperluan untuk mencapai hasil yang berkualiti dan
berkekalan. Dalam proses menghapuskan kemiskinan di kalangan golongan termiskin
dan juga mengurangkan ketidakseimbangan, penekanan akan diberikan kepada
aspek-aspek pendidikan dan latihan sebelum bantuan diberikan. Selain itu,
Persaingan Dalam Pasaran Antarabangsa DPN telah mengambilkira kemampuan negara
untuk bersaing dengan lebih terdaya dalam pasaran antarabangsa di samping
menghadapi cabaran baru. Di dalam menghadapi persaingan antarabangsa, Malaysia
perlu meningkatkan daya tarikan kepada pelabur dan pengusaha supaya dapat
memperluaskan urusan mereka di negara ini.
Dalam
bidang eksport pula, halangan- halangan (perlindungan) perdagangan antarabangsa
akan meningkat. Untuk mengatasi masalah ini, Malaysia akan terus mengamalkan
dasar liberal yang boleh menggalakkan sektor swasta lebih bersedia menghadapi
risiko berkaitan. Para pengeksport negara juga perlu mengurangkan pergantungan
mereka kepada Sistem Keutamaan Am (GSP) dan menjadi pengeksport yang mempunyai
daya saingan yang tinggi. Manakala, wawasan 2020 penyertaan semua kaum di
negara ini adalah sangat penting untuk memajukan Malaysia ke taraf negara yang
maju menjelang tahun 2020. Oleh yang demikian pelaksanaan strategi serampang
dua mata DPN akan terus menggalakkan penggemblengan sumber-sumber negara dan
menggunakan potensi kecerdasan masyarakat berbilang kaum untuk membina ekonomi
yang teguh serta meningkatkan ketahanan negara bagi mengatasi ketidakstabilan dan
ketidaktentuan ekonomi dunia. Oleh kerana setiap kaum mempunyai sifat dan kekuatannya
sendiri maka adalah penting untuk semua kaum di negara ini saling melengkapi dan
bantu membantu antara satu sama lain untuk kesejahteraan rakyat dan pembangunan
Negara.
Kadar
kemiskinan negara dijangka akan dapat dikurangkan ke paras 7.2% dalam tahun
2000 berbanding dengan 19.1% dalam tahun 1990. Kadar pengangguran pula dijangka
berkurangan ke tahap 4% dalam tahun 2000. Dalam melaksanakan strategi
pembasmian kemiskinan, DPN akan mengambil kira beberapa perubahan dibuat
terhadap peranan sektor awam. Oleh kerana kadar kemiskinan yang terlalu tinggi
di kawasan luar Bandar pada akhir tahun 1960-an, pelaksanaan DEB (1971 - 1990)
telah memperlihatkan penglibatan terus perkhidmatan awam melalui pembukaan
tanah-tanah dan pemberian subsidi besar-besaran kepada petani-petani kecil
untuk mewujudkan pekerjaan dan membantu meningkatkan pendapatan mereka.
Pengalaman telah menunjukkan bahawa kos penyelenggaraan skim pembangunan tanah seperti
yang diuruskan oleh FELDA adalah lebih tinggi daripada kos pengendalian estet
yang serupa oleh sector swasta. Tambahan pula anak-anak peneroka dan petani
yang berpendidikan lebih tinggi kurang berminat untuk bekerja di luar bandar.
Ramai di antara mereka telah berhijrah untuk bekerja di Bandar-bandar. Dengan
itu pembukaan tanah baru oleh agensi kerajaan untuk mengatasi masalah pengangguran
tidaklah ekonomikal lagi. Peranan ini lebih sesuai untuk dikendalikan oleh
estet-estet komersial. Latihan yang diberikan kepada belia-belia di luar Bandar
akan membolehkan mereka mendapatkan kerjakerja yang berkemahiran dan
berpendapatan lebih tinggi. Aspek latihan ini akan dipertingkatkan untuk
menggantikan pemberian subsidi yang dilaksanakan sehingga ini. Pemberian subsidi
dan sokongan akan diteruskan untuk golongan penanam padi dan nelayan tetapi
ianya akan ditumpukan ke arah mempertingkatkan produktiviti pengeluaran mereka.
Peranan sektor awam dalam pembasmian kemiskinan akan ditumpukan pada program-program
berikut pendidikan dan latihan, kesihatan, jalan-jalan luar Bandar,
pengangkutan, perumahan dan bekalan air dan elektrik.
Usaha-usaha
yang lebih gigih akan dilaksanakan untuk mengurangkan ketidakseimbangan pembangunan
di antara wilayah-wilayah, khususnya di antara negeri Sabah dan Sarawak dengan negeri-negeri
lainProgram pelaksanaan untuk mengatasi kemiskinan di Bandar - bandar juga akan
dipertingkatkan. Di kawasan bandar, kemiskinan relatif akan dikurangkan
menerusi penyediaan peluang yang lebih baik untuk meningkatkan pendapatan dan
kemudahan asas seperti perumahan, pengangkutan dan kemudahan awam.
Langkah-langkah juga akan diambil oleh Kerajaan melalui perancangan dan penetapan
zon pembangunan Bandar yang sesuai dalam usaha membangunkan bandar-bandar
secara teratur. Ini bukan sahaja akan dapat mengawal pertumbuhan
kawasan-kawasan setinggan tetapi juga menyediakan peluang-peluang kepada
golongan yang terlibat dalam perniagaan dan industri kecil.
Bagi
penyusunan semula masyarakat penghapusan pengenalan kaum mengikut fungsi-fungsi
ekonomi dan penyusunan semula hakmilik akan terus menjadi program penting di
bawah strategi ini. Berhubung dengan ini, matlamat DPN adalah untuk
meningkatkan taraf sosial dan ekonomi masyarakat Bumiputera ke tahap yang lebih
berdaya maju dan teguh. Kedudukan ini boleh dicapai dengan pelaksanaan strategi
meningkatkan gunatenaga dan penyertaan Bumiputera dalam pengurusan
sektor-sektor moden dan membentuk Masyarakat Perdagangan dan Perindustrian
Bumiputera. Walaupun dasar dan program Kerajaan akan terus menyediakan sokongan
kepada usahawan Bumiputera, tetapi adalah menjadi harapan kerajaan usahawan Bumiputera
akan memajukan perniagaan berasaskan daya usaha sendiri dan kurang bergantung kepada
bantuan dan subsidi kerajaan. Sehubungan dengan ini latihan dalam bidang
pengurusan harta dan etika perniagaan akan diutamakan. Sebagai langkah jangka
panjang, program untuk memupuk usahawan muda juga akan diberi tumpuan. DPN akan
menggalakkan penyertaan Bumiputera secara meluas dalam sektor-sektor moden seperti
pembuatan dan perkhidmatan. Perhatian khusus diberi kepada penyertaan
Bumiputera di dalam industri kecil dan sederhana menerusi program sub-kontrak
dan franchise. Usahasama secara aktif di antara Bumiputera dan bukan Bumiputera
akan digalakkan untuk membolehkan syarikat Bumiputera meningkatkan prospek
perniagaan. Bagi membolehkan Bumiputera bersaing dalam perniagaan moden, mereka
akan didedahkan kepada teknologi terbaru di samping kemudahan-kemudahan modal,
maklumat pasaran dan hubungan perniagaan dengan pasaran antarabangsa. Matlamat
penyusunan semula gunatenaga akan memastikan corak gunatenaga di pelbagai sektor
dan pekerjaan dalam ekonomi mencerminkan komposisi pelbagai kumpulan etnik dalam
negara.
Dalam
tempoh 10 tahun yang akan datang, dasar ini akan memastikan bahawa Bumiputera
mendapat bahagian yang saksama daripada pekerjaan baru yang diwujudkan, khususnya
dalam kategori profesional, pengurusan dan teknikal. Daripada 2.4 juta pekerjaan
baru yang dijangka akan dapat diwujudkan dari tahun 1991 - 2000, kira-kira
55.8% akan diambil oleh Bumiputera (706,700) dalam sektor perkhidmatan dan
534,000 dalam sector pembuatan.) Di sektor luar bandar, untuk meningkatkan
mobiliti tenaga kerja, langkah-langkah akan diambil untuk memperbaiki tahap
pendidikan dan kemahiran. Berhubung dengan strategi penyusunan semula hak milik
dan pengawalan dalam sektor swasta, sasaran secara kuantitatif yang khusus
tidak ditetapkan dalam DPN.
Langkah-langkah
akan diambil untuk melengkapkan Bumiputera dengan kemahiran - kemahiran yang
sesuai bukan sahaja bagi mengurus dan menjalankan pemiagaan dengan berkesan
tetapi juga bagi mengekalkan kekayaan mereka. Agensiagensi amanah dan
perbadanan awam perlu merancang dan menyelaras tindakan masing-masing dengan
lebih berkesan dalam mewujudkan harta - harta baru dan membeli kepentingan
tertentu bagi pihak Bumiputera. Peranan Permodalan Nasional Berhad (PNB) akan diperkukuhkan
dalam menggembleng tabungan Bumiputera dan pembangunan keusahawanan. Amanah
Saham Bumiputera (ASB) dan Amanah Saham Nasional (ASN) merupakan sebahagian
daripada strategi keseluruhan PNB untuk meneruskan usaha menggembleng tabungan
Bumiputera sepanjang tempoh DPN. Penswastaan akan digunakan sebagai suatu cara
untuk mempercepatkan dan memperluaskan penyertaan Bumiputera dalam sektor
swasta serta mencapai hasrat penyusunan semula modal saham. Jawatankuasa Pelaburan
Asing akan meneruskan pengawasan proses penyusunan semula modal saham dengan
menggalakkan lagi syarikat-syarikat mematuhi syarat-syarat yang ditetapkan.
Seperti DEB, DPN akan meneruskan usaha-usaha
mengurangkan ketidakseimbangan ekonomi bukan sahaja di kalangan kaum etnik
tetapi juga di antara golongan kaya dan miskin dan antara wilayah. Ketidakseimbangan
ekonomi ini akan dapat dikurangkan berasaskan prinsip pembangunan seimbang dan
pengagihan yang saksama untuk mencapai keadilan sosial dan memperkukuhkan
perpaduan negara.